ACL

ACLE: Walaupun JDT Tewas, Statistik Ceritakan Sebaliknya

Juan Medina Carlos Akapo JDT ACLE: Walaupun JDT Tewas, Statistik Ceritakan Sebaliknya
Johor Southern Tigers
Advertisements

Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas 0-2 kepada wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai dalam aksi keempat Kumpulan A, AFC Champions League Elite (ACLE) 2026/2027. Namun begitu, statistik perlawanan nyata memperlihatkan gambaran berbeza berbanding keputusan akhir apabila skuad Harimau Selatan sebenarnya lebih dominan dalam beberapa aspek permainan.

Hal ini dapat dibuktikan menerusi statistik penguasaan bola apabila JDT mencatatkan 57 peratus berbanding 43 peratus milik Jeonbuk Hyundai. Malah, anak buah Xisco Munoz turut lebih banyak menguasai permainan dengan menghasilkan 22 percubaan ke arah pintu gol lawan berbanding hanya 11 percubaan oleh pasukan tuan rumah.

Bagaimanapun, kelebihan dari segi jumlah percubaan itu gagal diterjemahkan kepada jaringan apabila JDT hanya menghasilkan enam percubaan tepat, manakala Jeonbuk Hyundai hanya merekodkan dua percubaan tepat. Situasi ini memperlihatkan perbezaan ketara dari segi keberkesanan penyudah kedua-dua pasukan meskipun JDT lebih banyak mencipta peluang.

Statistik aksi AFC Champions League Elite (ACLE) Zon Timur antara Jeonbuk Hyundai vs JDT. ✍🏻📊 https://t.co/eUpkAY8tRi— MakanBola (@makanbolaplus) November 3, 2026

Untuk rekod, Jeonbuk Hyundai membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi tandukan Bruno Mota yang menyudahkan hantaran lintang Kim Jin-gyu sebelum Italo da Vargas menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti menjelang tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Xisco Munoz melakukan beberapa pertukaran termasuk membawa masuk Joao Figueiredo dan Jon Irazabal bagi menambah kekuatan pasukan. Kedua-dua pemain itu kembali beraksi selepas sebelum ini terpaksa diketepikan susulan penggantungan FIFA pada tahun lalu.

Bagaimanapun, segala usaha JDT untuk merapatkan kedudukan tidak membuahkan hasil apabila benteng pertahanan Jeonbuk Hyundai terus kental menafikan percubaan demi percubaan yang dilakukan oleh skuad Harimau Selatan. Keputusan 2-0 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kekalahan tersebut menyaksikan rekod tanpa kalah JDT dalam saingan ACLE musim ini akhirnya lebur. Walaupun statistik menunjukkan Harimau Selatan lebih menguasai permainan dan menghasilkan lebih banyak percubaan, kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan.