Harimau Malaya

Kelebihan Ranking Malaysia Jadi Motivasi Hadapi Yemen

Malaysia China Kelebihan Ranking Malaysia Jadi Motivasi Hadapi Yemen
Malaysia NT

Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe melihat perbezaan kedudukan ranking FIFA antara Malaysia dan Yemen sebagai satu suntikan motivasi buat anak buahnya menjelang aksi persahabatan antarabangsa pada 17 November ini.

Advertisement

Berdasarkan kemas kini ranking FIFA pada 7 Oktober lalu, Malaysia berada di tangga ke-133 dunia manakala Yemen menghuni kedudukan ke-144, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Malaya memiliki kelebihan 11 anak tangga berbanding lawan mereka.

Mengulas mengenai perbezaan tersebut, Tan Cheng Hoe menegaskan bahawa kedudukan lebih baik yang dimiliki Malaysia tidak seharusnya menjadi tekanan, sebaliknya perlu dijadikan pembakar semangat buat pemain untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Ya, perbezaan ranking antara Yemen dengan Malaysia agak baik buat kita kerana berada pada kedudukan yang lebih tinggi, namun perkara itu bukanlah satu tekanan, sebaliknya memberikan motivasi kepada pasukan,” katanya.

Dalam masa sama, pengendali berusia 58 tahun itu menganggap pertemuan menentang Yemen sebagai satu cabaran buat Harimau Malaya untuk mengekalkan keputusan positif berdasarkan kelebihan yang dimiliki dari segi kedudukan ranking.

Beliau turut melihat perlawanan tersebut sebagai peluang terbaik buat barisan pemain untuk menebus kekalahan ketika berdepan China dalam aksi terdahulu sekali gus mengembalikan keyakinan pasukan.

“Ini merupakan satu cabaran untuk kita mengekalkan keputusan yang memihak kepada kita dan saya rasa rata-rata pemain juga mahu menebus kekalahan tempoh hari ketika menentang China.

“Jadi, inilah peluang terbaik untuk kita mendapatkan semula keyakinan dalam pasukan menjelang perlawanan nanti,” jelas Tan Cheng Hoe.

Harimau Malaya kini perlu memanfaatkan pertemuan menentang Yemen di Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong itu untuk kembali mencatat keputusan positif selepas aksi persahabatan terdahulu.