Selangor meneruskan rentak momentum dalam aksi Liga Super Malaysia musim 2026-2027 selepas berjaya membenam cabaran Penang pada Sabtu.
Kemenangan ke-5 berturut-turut dicatatkan Selangor dalam saingan Liga Super Malaysia pada musim ini dengan terbaharu, anak-anak didik Kim Pan-gon berjaya menundukkan Penang 3-1 di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Barisan terbaik ditampilkan Selangor pada perlawanan ini meskipun tanpa kelibat Faisal Halim yang masih mengalami kecederaan manakala Penang Stefano Brundo kekal memakai lilitan kapten bagi mengetuai kesebelasan utama.
Tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 apabila tandukan kencang Chrigor Moraes berjaya menewaskan penjaga gawang Penang, Ramadhan Abd Hamid untuk Selangor mendahului permainan pada babak pertama.
Nama Chrigor Moraes sekali lagi bergema di Stadium MBPJ pada minit ke-52 setelah tonggak dari Brazil ini menggandakan kelebihan untuk Selangor menerusi jaringan kedua peribadi, sekali gus memberi tekanan kepada kem Penang.
Anak didik Wan Rohaimi merapatkan kedudukan menerusi jaringan Stefano Brundo pada minit ke-69, hasil tampanan sempurna daripada hantaran rakan sepasukan yang gagal untuk dikesan awal oleh barisan pertahanan Selangor.
Hasrat Penang bagi sekurang-kurangnya meraih satu mata di tempat lawan lebur apabila Zikri Khalili meledak gol ke-3 Selangor pada masa tambahan untuk memastikan 3 mata berharga menjadi milik pasukan kendalian Kim Pan-gon ini.
Perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya berakhir dengan kemenangan 3-1 memihak Selangor untuk Sang Gergasi Merah berada di kedudukan kedua Liga Super Malaysia ketika ini, hasil 15 mata yang dikumpul selepas 5 aksi.