Selangor Perlu Tunggu Faisal Halim Lebih Lama
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC menerima satu lagi perkembangan kurang baik menjelang aksi Liga Super menentang Penang FC apabila kapten pasukan, Faisal Halim, dijangka memerlukan tempoh pemulihan lebih lama susulan kecederaan yang dialaminya.

Ketua jurulatih Selangor, Kim Pan-gon, mengesahkan kecederaan pemain sayap kebangsaan itu agak serius dan memerlukan perhatian sewajarnya sebelum dia dapat kembali memperkuatkan pasukan.

Menurut Pan-gon, tempoh pemulihan Faisal mengambil masa lebih lama daripada jangkaan awal, sekali gus menyaksikan pemain berusia 28 tahun itu tidak dapat diturunkan dalam pertemuan menentang Penang.

“Bagi kes Faisal Halim, saya rasa kami memerlukan masa lebih lama daripada yang dijangkakan kerana kecederaannya agak serius,” katanya ketika ditemu bual di Pusat Latihan Selangor pada Jumaat.

Pengendali dari Korea Selatan itu turut menegaskan bahawa kebajikan pemain perlu menjadi keutamaan meskipun Selangor bakal mengharungi beberapa perlawanan penting dalam jadual yang padat.

“Kami mempunyai beberapa perlawanan penting yang menanti, tetapi pada masa sama, kami perlu menjaga kebajikan pemain,” jelasnya lagi

Faisal mengalami kecederaan ketika membantu Harimau Malaya mengharungi kempen Piala ASEAN FIFA 2026, selepas aksi peringkat Kumpulan A menentang Indonesia pada 28 September lalu.

Kecederaan tersebut menyebabkan pemain yang mesra disapa Miki itu terlepas dua perlawanan terakhir Malaysia dalam kejohanan berkenaan, iaitu menentang Singapura dan Vietnam.