Harimau Malaya

Nilai Pasaran Arif Aiman & Fergus Tierney Catat Jurang

Arif Fergus Malaysia Nilai Pasaran Arif Aiman & Fergus Tierney Catat Jurang
JST/PACOMONIA

Nilai dua pemain muda harapan Malaysia, Arif Aiman Hanapi dan Fergus Tierney mencatatkan jurang susulan prestasi semasa kedua-dua tonggak ini.

Advertisement

Persaingan di bahagian serangan skuad Harimau Malaya kini tidak lagi dinilai di atas padang sahaja, malah turut terpapar pada harga pasaran masing-masing.

Transfermarkt – laman rujukan nilai pasaran pemain, menilai harga seseorang pemain berdasarkan beberapa faktor seperti umur, prestasi semasa, kekuatan liga dan status di peringkat antarabangsa. Kemas kini terbaharu laman itu memperlihatkan jurang antara dua tonggak berbakat Malaysia ini, seorang beraksi di Asia dan seorang lagi di Eropah.

Menurut Transfermarkt, Arif Aiman kini bernilai €700,000 atau kira-kira RM3.3 juta, manakala Fergus Tierney dinilai pada €300,000 (RM1.4 juta). Ini bermakna jurang antara kedua-duanya mencecah €400,000, iaitu hampir RM1.9 juta. Nilai pemain JDT itu lebih dua kali ganda berbanding Fergus.

Pemain berusia 24 tahun yang beraksi sebagai pemain sayap kanan terus menjadi antara nama paling berharga dalam bola sepak tempatan. Ketinggian beliau hanya 1.71 meter, tetapi kelajuan dan kebijaksanaan beliau menjadikannya senjata utama Skuad Harimau Selatan dalam Liga Super.

Statistik SofaScore bagi Liga Super 2026/27 membuktikan perkara itu. Beliau turun sebagai pemain utama dalam kesemua enam perlawanan dengan 540 minit beraksi, menyumbang satu gol dan tujuh bantuan gol. Penilaian purata beliau berada pada 8.70, tertinggi dalam kalangan pemain dalam liga.

Selain itu, beliau mencatat 32 hantaran kunci dan 256 hantaran tepat dengan ketepatan 75 peratus.

Peta haba pula menunjukkan kebanyakan pergerakan beliau tertumpu di sayap kanan hingga ke kotak penalti lawan.

Di Cyprus pula, Fergus baharu sahaja menyertai PAC Omonia 29M dalam Liga Cyprus. Pemain sayap kiri berusia 23 tahun itu memiliki ketinggian 1.84 meter dan menurut SofaScore, beliau telah beraksi dalam tujuh perlawanan musim ini, enam daripadanya sebagai pemain utama, dengan 585 minit di atas padang. Beliau menyumbang dua gol dan satu bantuan jaringan dengan penilaian purata 6.66 mata.

Pemain setinggi 1.84 meter itu jauh lebih tajam di depan gol. Daripada tujuh percubaan, empat tepat ke sasaran dengan kadar 29 peratus, iaitu satu gol bagi setiap 293 minit.

Bagaimanapun, sumbangan beliau dalam membina serangan masih terhad, dengan hanya satu hantaran kunci, 76 hantaran tepat dan ketepatan hantaran 63 peratus.

Angka ini memperlihatkan dua gaya permainan yang berbeza. Arif lebih kerap mencipta peluang, manakala Fergus lebih cekap menyudahkan peluang.

Dengan pentas Eropah di hadapannya, nilai pemain Omonia itu berpotensi meningkat jika beliau terus konsisten. Bagi Harimau Malaya pula, kedua-dua pemain ini menjadi pilihan pada posisi serangan.