Jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe sudah mengenal pasti punca Malaysia bergelut ketika menentang China baru-baru ini.
Cheng Hoe melihat kekurangan di bahagian tengah sedikit sebanyak mengganggu usaha Harimau Malaya mendapatkan penguasaan bola ketika menentang Dragon Team.
Hal ini membawa kepada dua gol awal tuan rumah menerusi Wang Yudong dan kapten, Zhang Yuning.
“Memang kita sebagai jurulatih merasakan mungkin kekurangan di bahagian tengah itu yang sedikit sebanyak menjejaskan kawalan bola sepak (dalam aksi) semalam kita menentang China.
“Tetapi saya rasa penting untuk memberi peluang kepada pemain-pemain lain untuk memberi mereka dapat pengalaman bermain di peringkat antarabangsa terutama menentang pasukan China yang begitu kuat dari segi fizikal dan juga teknikal.
“Saya rasa, sebagai jurulatih, saya puas hati tentang persembahan setiap individu dalam pasukan,” katanya seperti dilaporkan BolaKita.
Kelemahan ini dijangka diperbaiki Cheng Hoe menjelang aksi persahabatan kedua menentang Yemen pada 17 November ini.
Beberapa pemain juga dijangka mengintai peluang beraksi dalam kesebelasan utama. Antara pemain yang berpotensi beraksi ialah Richard Chin dan Safwan Mazlan.


