Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman ke atas Sepanyol susulan tindakan segelintir penyokong pasukan itu mengejek lawan mereka, Mesir dalam aksi persahabatan pada Mac lalu.
Al-Jazeera melaporkan Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) dikenakan denda sebanyak AS$20,000 (RM81,671) dan sebahagian kawasan stadium ditutup untuk aksi antarabangsa mereka yang seterusnya.
Hukuman ini dibuat selepas Jawatankuasa Disiplin FIFA menyiasat insiden yang berlaku di Stadium RCDE, Barcelona pada Mac lalu. Semasa perlawanan, sesetengah penyokong mengulangi teriakan yang berbunyi, “Siapa tak melompat ialah Muslim.”
Teriakan tersebut mengundang kemarahan bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal. Yamal yang berstatus Muslim melabel penyokong yang membuat terikan jelik tersebut sebagai jahil dan bersikap perkauman.
Susulan itu, pihak berkuasa Sepanyol membuka siasatan berhubung insiden itu sehari selepas perlawanan. Ini disusuli dengan FIFA yang melancarkan prosiding disiplin terhadap RFEF.
RFEF cuba berhujah bahawa teriakan tersebut patut dibicarakan di bawah Artikel 17, FIFA yang meliputi mesej berbaur keagamaan, politik dan ideologi berbanding Artikel 13, FIFA yang meliputi isu perkauman.
Meskipun begitu, hujah badan induk bola sepak Sepanyol itu ditolak Jawatankuasa Disiplin FIFA. Selepas hukuman dijatuhkan, RFEF dilaporkan mahu merayu keputusan itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Sekiranya rayuan mereka ditolak di peringkat CAS, juara dunia itu perlu beraksi dalam aksi antarabangsa seterusnya dengan kapasiti penyokong dikurangkan sebanyak 15%.