Kelebihan dilihat memihak kepada Harimau Malaya menjelang aksi persahabatan seterusnya menentang Yemen pada 17 November ini.
Ini berdasarkan statistik perlawanan antara Malaysia dan China yang berlangsung pada 14 November lalu di Guangdong.
Meskipun skuad negara tewas 2-0 kepada anak buah Shao Jiayi, statistik menunjukkan kedua-dua pasukan cukup seimbang.
Kedua-dua pasukan merekodkan 10 percubaan dengan China mencatatkan tiga percubaan tepat dan Malaysia (dua percubaan tepat).
Selain itu, Harimau Malaya juga menguasai 57% penguasaan bola dan merekodkan lima sepakan sudut. Ini menunjukkan Malaysia mampu bersaing dengan China meskipun pasukan itu berstatus pasukan ke-96 dunia.
Kini, skuad negara berpeluang menebus semula kehampaan apabila bertemu dengan Yemen. Malaysia dilihat memiliki peluang lebih-lebih lagi selepas Yemen tewas 3-1 kepada Bahrain.
Justeru, aksi ini menjadi peluang buat Harimau Malaya untuk bangkit dan meraih mata ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Aksi ini juga berpotensi menjadi medan buat Tan Cheng Hoe memberi peluang kepada pemain lain beraksi dalam kesebelasan utama.
Salah satunya ialah pemain Ross County, Richard Chin. Richard membalas kepercayaan Cheng Hoe apabila menunjukkan prestasi baik bila beraksi sebagai pemain gantian ketika menentang China.


