Harimau Malaya

“Kenapa Gol Fergus Tierney Dibatalkan?”

Tierney China Malaysia Malaysia NT “Kenapa Gol Fergus Tierney Dibatalkan?”
Malaysia NT

Keputusan pengadil membatalkan gol Fergus Tierney ketika Harimau Malaya tewas 0-2 kepada China dalam aksi persahabatan antarabangsa pada Sabtu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Advertisement

Menerusi tinjauan di ruangan komen media sosial, ramai peminat meluahkan rasa hairan dengan keputusan tersebut selepas jaringan penyerang negara itu dibatalkan susulan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Insiden berkenaan berlaku pada minit ke-77 apabila Fergus Tierney berjaya mengambil kesempatan daripada situasi di hadapan gawang China sebelum menyudahkan peluang untuk menghasilkan jaringan.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Ko Hyung-jin, membatalkan jaringan itu selepas semakan VAR dengan memberikan isyarat ofsaid terhadap pemain berkenaan.

Apa yang menjadi persoalan penyokong adalah situasi bola yang kelihatan dimainkan ke belakang oleh pemain pertahanan China sebelum Fergus mengambil kesempatan daripada bola tersebut untuk menjaringkan gol.

Malah, terdapat juga pandangan bahawa tindakan pemain China itu berlaku ketika berada di bawah tekanan pemain Malaysia sehingga menimbulkan persoalan sama ada sentuhan tersebut merupakan satu hantaran yang disengajakan atau berlaku secara tidak sengaja.

Perkara itu membuatkan sebahagian penyokong tertanya-tanya mengapa Fergus masih dianggap berada dalam situasi ofsaid sedangkan bola terakhir kelihatan datang daripada pemain lawan.

Walau bagaimanapun, keputusan pengadil selepas semakan VAR perlu dihormati memandangkan penilaian terhadap situasi sedemikian melibatkan aspek teknikal dalam undang-undang permainan yang memerlukan penelitian terperinci.

Tanpa penjelasan lanjut mengenai pertimbangan pengadil ketika membuat keputusan tersebut, sukar untuk membuat kesimpulan sama ada pembatalan jaringan itu tepat atau sebaliknya.

Apa yang pasti, insiden berkenaan menjadi antara perkara yang paling banyak diperkatakan penyokong selepas kekalahan 0-2 Harimau Malaya kepada China di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.