Ketua jurulatih China, Sha Jiayi menganggap bahawa Malaysia tetap tampil dengan begitu hebat dan meyakinkan sungguhpun tanpa barisan pemain utama.
Pengendali berusia 46 tahun itu secara terbuka mengakui anak buahnya kalah dari segi kecergasan berbanding pihak lawan, walaupun pulang dengan tiga mata.
China menewaskan Malaysia 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 14 November 2026. Perlawanan itu menjadi antara ujian awal untuk kem kejurulatihan baharu skuad Naga, yang sedang membina semula pasukan selepas beberapa kempen mengecewakan di pentas Asia. Di pihak Harimau Malaya pula, pasukan turun beraksi dengan barisan yang jauh daripada lengkap.
Bercakap pada sidang media selepas perlawanan, Shao Jiayi mengakui tahap fizikal pemainnya tidak boleh dibandingkan dengan pemain Malaysia. Menurut beliau, pemain China baru sahaja melalui 30 pusingan liga domestik dan keletihan jelas kelihatan, terutamanya apabila prestasi pasukan merosot pada separuh masa kedua.
Bekas pemain antarabangsa China itu menjelaskan bahawa kem kejurulatihan sudah mempertimbangkan pertukaran pemain akibat faktor keletihan.
Bagaimanapun, beliau memuji keinginan untuk menang yang terus ditunjukkan anak buahnya meskipun dalam keadaan letih dan menyifatkannya sebagai bukti mereka layak berada dalam pasukan kebangsaan.
Pengendali skuad Naga itu turut memberi pengiktirafan kepada Harimau Malaya. Beliau menegaskan Malaysia beraksi tanpa kira-kira 20 pemain, namun masih mampu mempamerkan permainan yang baik.
Menurutnya, situasi itu mencerminkan realiti bola sepak Asia ketika ini, dan China tidak mempunyai sebab untuk terlalu optimis walaupun menang.
Walaupun mengakui kelemahan fizikal pasukannya, beliau tetap menyatakan rasa puas hati terhadap proses serta keputusan perlawanan. Beliau mengucapkan tahniah kepada para pemain kerana menunjukkan semangat yang diperlukan oleh pasukan kebangsaan, selain berterima kasih kepada penyokong yang hadir.
Dari segi kecergasan individu, Serginho disahkan tidak mengalami kecederaan serius, tetapi jurulatih itu tidak mahu pemain kelahiran Brazil tersebut mengambil sebarang risiko. Beliau berpuas hati dengan Yang Mingyang yang masuk sebagai pengganti.
Mengenai penjaga gol iaitu Li Hao, beliau menegaskan tempat dalam kesebelasan utama perlu diraih sendiri dan tidak diberikan oleh jurulatih. Walaupun gawang China tidak bolos, beliau berpendapat penjaga gol itu masih jauh daripada memenuhi prestasi terbaiknya dan mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki.
Beliau menjangkakan persembahan yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya, dengan beberapa perubahan barisan pemain bakal dilakukan.
Aksi seterusnya menyaksikan China bakal bertemu Bahrain manakala Malaysia melayan tentangan Yemen pada 17 November 2026.


