ACLE: Peluang JDT Ke Pusingan Kalah Mati 94%
MakanBola
Johor Southern Tigers

Johor Darul Ta’zim (JDT) antara beberapa pasukan yang memiliki peluang cerah layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Ini berdasarkan ramalan peluang semua pasukan Liga Timur ACLE yang dibuat Footy Rankings baru-baru ini. JDT antara lima pasukan yang memiliki peluang melebihi 90% untuk layak.

Dua kelab Jepun, Kashima Antlers dan Vissel Kobe memiliki peluang sebanyak 99% untuk layak. Ini disusuli dengan Harimau Selatan dan Gamba Osaka yang berkongsi peluang sebanyak 94%.

Satu lagi kelab Jepun, Kashiwa Reysol memiliki peluang sebanyak 92%. Beijing Guoan dan Kyoto Sanga pula masing-masing memiliki peluang sebanyak 71%.

Peratusan yang dimiliki JDT bukan saja mengambil kira faktor pasukan itu masih belum tewas dalam Liga Timur ACLE. Malah, peratusan ini turut mengambil kira peluang JDT dalam baki aksi yang akan dihadapi selepas ini.

Selepas diikat 1-1 dengan Buriram United, JDT bangkit dengan mengalahkan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers baru-baru ini. Selepas ini, anak buah Xisco Munoz akan berdepan satu lagi wakil Thailand, Port FC.

Port berdepan tugas sukar kerana mereka telah tewas dua kali dalam Liga Timur ACLE. Selepas tewas 2-1 kepada Kobe, mereka menjadi mangsa belasahan Kashiwa.