Harimau Malaya

Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia Benam Singapura Saat Akhir

Syaifullah Malaysia Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia Benam Singapura Saat Akhir
Malaysia NT

Hasrat Malaysia untuk mencatat kemenangan pertama dalam Kelayakan Piala Asia Bawah 17 akhirnya menjadi kenyataan apabila menewaskan Singapura dalam aksi kedua-dua pasukan pada Sabtu.

Advertisement

Malaysia yang dibimbing Shukor Adan dibarisi Fareez Danial Fadzly yang memakai lilitan kapten dan Ahmad Muzakif Fitri menjadi harapan di bahagian serangan dalam memburu jaringan.

Manakala kesebelasan utama Singapura pula dibarisi Aidan Irfan sebagai kapten dan Ilhan Hady ditugaskan sebagai benteng terakhir Singapura.

Malaysia bermula dengan baik apabila hampir saja berada di hadapan menerusi Aniq Thaqif pada minit ke-12 namun rembatan derasnya berjaya ditepis penjaga gol Singapura.

Selepas percubaan tersebut, perlawanan agak seimbang dengan kedua-dua saling menyerang namun Malaysia lebih merbahaya menerusi beberapa siri gerak serangan.

Malaysia akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-33 menerusi jaringan Syaifullah Mahruzi yang bijak menyudahkan hantaran lintang rakan sepasukan dari sebelah kiri. Gol tersebut meletakkan Harimau Malaya di hadapan 1-0.

Hasrat Malaysia untuk menutup babak pertama dengan kelebihan jaringan tidak kesampaian apabila Singapura berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Izzan Rifqi. Jaringan tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan terikat 1-1 selepas 45 minit permainan.

Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat saling mengatur gerakan dalam usaha memburu gol pendahuluan. Aksi berlangsung seimbang dengan Malaysia dan Singapura masing-masing cuba menguasai permainan serta mencari ruang untuk mencipta peluang.

Peluang terbaik Malaysia untuk meledak jaringan kedua hadir pada minit ke-69 melalui dua percubaan tepat namun ketangkasan penjaga gol dan pertahanan Singapura menjadi penghalang.

Syaiful turut berpeluang meledak kali kedua dalam perlawanan ini pada minit ke-73 namun rembatan deras pemain muda ini hanya menggegar palang.

Gol kemenangan yang dinantikan akhirnya hadir pada minit ke-88 menerusi jaringan Fahim Akmal yang menyambar bola dalam situasi kelam kabut di hadapan gawang Singapura.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menghadiahkan kemenangan berharga buat Shukor Adan dan anak buahnya. Kejayaan itu pastinya cukup bermakna buat skuad negara yang sememangnya mengidamkan kemenangan, lebih-lebih lagi selepas tewas mengejut kepada Palestin pada aksi sulung mereka.