Presiden FIFA Minta Maaf Secara Terbuka
MakanBola
FA Malaysia

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino memohon maaf secara terbuka berhubung isu komunikasi dan perundingan membabitkan cadangan menjual pegangan Piala Dunia kepada pelabur swasta.

BBC Sport melaporkan permohonan maaf itu dibuat dalam satu video yang disiarkan di semua platform rasmi FIFA. Permohonan maaf itu dibuat tidak lama selepas mesyuarat Majlis FIFA di Zurich, Switzerland.

“Pertama sekali, saya memohon maaf atas kesilapan yang kami lakukan berhubung proses komunikasi dan perundingan berkaitan projek FIFA Forward Enterprise (FFE), yang telah mencetuskan pelbagai kesan.

“Namun begitu, perkara penting yang perlu diingat ialah ia hanya satu cadangan dan bukannya sesuatu yang telah diputuskan secara muktamad.

“Cadangan itu sebenarnya bertujuan membolehkan FIFA melabur lebih banyak dalam negara-negara ahli kami dan bukannya bertujuan menggantikan sokongan daripada sumber sedia ada,” katanya.

Permohonan maaf sama turut dibuat dalam mesyuarat Majlis FIFA. Meskipun begitu, kelompok penentang Infantino masih tidak berpuas hati kerana masih banyak persoalan yang belum terjawab termasuk FFE.

Naib Presiden FIFA merangkap Pengerusi Persatuan Bola Sepak England (FA), Debbie Hewitt menggesa beliau untuk berkongsi semua dokumen berhubung FFE.

Hewitt juga merasakan sekiranya Infantino enggan menjawab semua soalan tersebut, maka beliau tidak layak untuk terus mengisi kerusi panas badan induk bola sepak antarabangsa itu.

Meskipun dilihat berada kedudukan terbaik untuk meraih penggal ketiga dalam pemilihan FIFA seterusnya, kedudukan bekas Setiausaha Agung Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) itu masih belum selamat.

Ini kerana seorang calon misteri dilaporkan berminat untuk mencabar Infantino untuk jawatan Presiden FIFA. Antara nama yang dicanang bakal mencabar beliau ialah legenda Portugal, Luis Figo dan Michelle Kang.