ONE Championship: Johan Ghazali Balas Dendam Tewaskan Diego Paez
UltraSukan
ONE Championship

Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali menamatkan siri dua kekalahan dalam ONE Championship dengan menewaskan wakil Amerika Syarikat (US), Diego Paez.

Kemenangan jaguh berusia 19 tahun itu diraih dalam saingan ONE: The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand pada Jumaat.

Kemenangan ini cukup bermakna buat jaguh yang mesra disapa Jojo itu. Ini kerana selain menamatkan siri dua kekalahannya sebelum ini, Johan juga dapat menebus kekalahan di tangan Paez.

Sebelum ini, kedua-dua jaguh pernah bertemu dalam gelanggang pada Jun tahun lalu. Pertarungan itu menyaksikan Paez berjaya mengatasi Johan dengan keputusan juri.

Sejak itu, pemilik nama sebenar Muhammad Johan Ghazali bin Zulfikar itu mengharungi empat pertarungan dengan dua kemenangan dan dua kekalahan. Ini termasuk kekalahan di tangan jaguh Lubnan, Ramadan Ondash.

Justeru, pertarungan ini dilihat peluang Johan untuk kembali bangkit mendapatkan rentak kemenangan. Sebaik pertarungan bermula, beliau dan Paez memberi saingan hebat di atas gelanggang.

Pertarungan sengit selama tiga pusingan itu menyaksikan Johan dipilih sebagai pemenang menerusi keputusan sebulat suara juri. Keputusan ini menyaksikan Paez sekali lagi kempunan meraih kemenangan selepas tewas kepada Black Panther dalam ONE: Fight Night 42 pada April lalu.