Diego Paez Atasi Cabaran Sengit Johan Ghazali
UltraSukan
Johan Ghazali

Jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali terpaksa akur dengan kehebatan lawannya dari Amerika Syarikat (AS), Diego Paez.

Ini selepas jaguh berusia 18 tahun itu tewas dalam aksi terbaru One Championship: ONE Fight Night 32 kategori flyweight di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand.

Selepas tewas kepada jaguh Colombia, Johan Estupinan pada Januari lalu, Johan berharap dapat bangkit meraih kemenangan bila berdepan Paez.

Pada awalnya, ramai menyangka aksi ini tidak dapat diteruskan. Ini selepas Paez gagal melepasi ujian hidrasi dan timbangan pada 6 Jun lalu.

Justeru, beliau diminta menyerahkan sampel hidrasi yang lulus sebelum dibenarkan meneruskan pertarungan dengan Johan.

Sebaik pertarungan bermula, Paez berusaha memberi tekanan kepada lawannya yang lebih muda itu. Itu langsung tidak menggentarkan Johan yang cuba menyerang menerusi siri tumbukan dan tendangan ke arah wakil AS itu.

Pertarungan hebat yang dipamerkan Paez dan Johan sepanjang tiga pusingan menyaksikan kemenangan ditentukan menerusi keputusan juri.

Pada akhirnya, juri memilih Paez sebagai pemenang. Meskipun bergelar pemenang, jaguh AS itu gagal membawa balik bonus kemenangan susulan kegagalan melepasi ujian hidrasi.

Keputusan ini menyaksikan Johan kini merekodkan enam kemenangan daripada sembilan aksi ONE Championship. Ini termasuk lima kemenangan yang diraih menerusi TKO.