Jodoh Bruno Taffy bersama skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) berakhir.
Perkara ini disahkan pemain berusia 36 tahun itu menerusi satu kenyataan di Instagram. Taffy mengakui ini bukan satu keputusan mudah tetapi beliau melihat ini masa terbaik untuk menilai masa depannya selepas ini.
“Ia satu perjalanan yang luar biasa sepanjang tahun-tahun ini. Rakan-rakan semua, anda semua akan sentiasa berada dalam ingatan saya, gambar-gambar tidak mampu menggambarkan segala-galanya.
“Kita berjaya memenangi beberapa kejuaraan tetapi yang paling bermakna ialah apa yang kita telah bina bersama. Terima kasih kepada semua penyokong yang telah menyokong saya dari awal hingga akhir.
“Saya mendoakan yang terbaik untuk kelab yang hebat ini. Saya akan sentiasa menjadi penyokong JDT. Kini tiba masanya untuk berehat bersama keluarga, memulihkan tenaga dan melihat apa yang bakal menanti pada masa hadapan,” katanya.
Selepas hantaran itu disiarkan di akaun beliau, ramai rakan sepasukan dan staf kejurulatihan mengucapkan selamat berjaya kepada Taffy. Antaranya Awalluddin Mat Nawi, Firdaus Ambiah dan penolong jurulatih JDT, Jasman Patmee Mohamed Kutty.
Malah, penyerang berbisa Harimau Malaya dan JDT, Bergson da Silva turut mengucapkan selamat berjaya kepada Taffy.
Antara pencapaian terbaik beliau bersama JDT ialah muncul juara Divisyen 1 Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) sebanyak dua kali dan Malaysia Futsal Cup (MFC) 2024.