Kapten Indonesia, Kevin Diks memaklumkan beliau tidak memiliki sebarang masalah dengan penyerang Malaysia, Bergson da Silva.
Hal ini dinyatakan beliau apabila diminta mengulas insiden lucu antara dirinya dan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super itu dalam aksi FIFA ASEAN Cup antara Indonesia dan Malaysia pada September lalu.
Nama Diks menjadi sebutan peminat bola sepak apabila dilihat menolak punggung penyerang Brazil itu selepas beliau terbaring pada separuh masa pertama perlawanan itu.
Hal ini mencetuskan rasa tidak puas hati kem negara diketuai pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim. Pada akhirnya, kapten Tim Garuda itu tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pengadil.
Selepas video insiden itu dimuat naik di media sosial, insiden Diks dan Bergson membuatkan ramai peminat bola sepak tidak kering gusi.
Apabila ditanya tentang insiden itu, Diks hanya ketawa sebelum menyatakan beliau hanya mahu menolak Bergson keluar dari padang.
Beliau yang kini beraksi untuk kelab Borussia Mönchengladbach juga memaklumkan tidak memiliki sebarang isu dengan penyerang Harimau Malaya itu. Malah, Diks mendedahkan beliau dan Bergson ketawa bersama pada babak kedua dan memiliki rasa hormat terhadapnya.
“Saya tahu ada orang membuat video dan memang betul ada sedikit perselisihan (dengan Bergson) di atas padang. Tapi pada babak kedua, kita berbaik semula dan saya menghulurkan tangan kepadanya.
“Kami ketawa bersama dan semuanya baik-baik sahaja. Pada separuh masa pertama, suasananya sedikit tegang kerana saya cuba menolak beliau keluar dari padang. Ini kerana beliau menunjukkan sedikit reaksi berlebihan ketika terjatuh.
“Tetapi pada akhirnya, ia berlangsung dalam suasana yang baik dan saling menghormati. Kami ketawa bersama pada separuh masa kedua dan tidak ada masalah,” katanya kepada OlahBola.
Sesi temu bual sama turut menyaksikan Diks memuji kualiti yang dimiliki seorang lagi bintang Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi. Beliau percaya kualiti itu sudah cukup buat Arif Aiman untuk beraksi di Eropah.