“Arif Aiman Boleh Berjaya Di Eropah” – Kevin Diks
MakanBola
Malaysia National Team

Bintang Borussia Monchengladbach, Kevin Diks memberikan pujian kepada pemain sayap Harimau Malaya dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang disifatkannya berpotensi mencipta kejayaan di Eropah.

Menerusi temu bual bersama portal atas talian OlahBola, pertahanan antarabangsa Indonesia itu memilih Arif Aiman sebagai antara pemain paling sukar dihadapinya ketika saingan FIFA ASEAN Cup yang lalu.

Diks mengakui bahawa dia sangat kagum dengan kemampuan pemain sayap kanan Malaysia itu selepas berpeluang berdepan dengannya dalam kejohanan tersebut.

Menurut Diks, pergerakan Arif Aiman di bahagian sayap memaksanya untuk memberikan perhatian khusus bagi mengekang ancaman yang mampu dihasilkan pemain berusia 24 tahun itu.

“Pada separuh masa kedua, apabila dia bergerak sedikit ke bahagian saya, saya sudah tahu apa yang mampu dilakukannya.

“Jadi, saya sentiasa berada dekat dengannya supaya dia tidak dapat menerima bola,” katanya.

Diks turut menceritakan detik menarik apabila Arif Aiman sempat mentertawakannya ketika kedua-dua pemain itu beradu keupayaan di atas padang.

“Dia pernah mentertawakan saya sekali kerana dia tahu itu tindakan yang bijak untuk dilakukan,” jelasnya.

Bekas pemain FC Copenhagen itu kemudian menegaskan bahawa Arif Aiman merupakan pemain berkualiti tinggi dan mengakui bahawa bintang JDT itu mempunyai kemampuan untuk bersaing di pentas bola sepak Eropah.

“Dia memang pemain yang sangat bagus. Saya difahamkan dia bermain di JDT, jika saya tidak silap.

“Saya rasa dia seorang pemain yang sangat bagus dan berpotensi untuk mencipta kejayaan di Eropah,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Kevin Diks berpandangan bahawa Arif Aiman mungkin memilih untuk terus beraksi di Malaysia berdasarkan pemahaman beliau mengenai kecenderungan pemain sayap lincah tersebut.

“Tetapi berdasarkan apa yang saya faham, dia mungkin akan kekal di Malaysia kerana dia suka bermain di sana,” ujarnya.

Pujian daripada Kevin Diks itu memperlihatkan pengiktirafan terhadap kemampuan Arif Aiman yang terus menjadi antara tonggak utama JDT serta pemain penting dalam skuad Harimau Malaya.