Kualiti Arif Aiman Jadi Sorotan FIFA
MakanBola
Malaysia NT

Kualiti penyerang sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi terus mendapat perhatian apabila FIFA menyoroti peranannya menjelang pertemuan Malaysia menentang Indonesia dalam aksi kedua Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026.

Dalam artikel praperlawanan yang diterbitkan FIFA, kreativiti, kepantasan dan naluri penyudah Arif Aiman menjadi antara aspek utama yang diberikan perhatian menjelang aksi di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

FIFA turut menganggap pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sebagai sandaran utama jentera serangan Harimau Malaya ketika berdepan seteru tradisi, Indonesia.

Perhatian tersebut hadir selepas Arif Aiman mencuri tumpuan dalam aksi pembukaan Malaysia apabila meledak dua gol ketika membantu skuad kendalian Tan Cheng Hoe menewaskan Bangladesh 3-0.

Gol pertama hadir pada minit ke-18 selepas Arif Aiman menyambut hantaran Nooa Laine sebelum tenang menewaskan penjaga gol Bangladesh, Mehedi Hasan Srabon.

Pemain berusia 24 tahun itu kemudian menggandakan kelebihan Malaysia pada minit ke-37 menerusi penyudah bertenaga hasil hantaran Stuart Wilkin untuk melengkapkan malam cemerlangnya.

FIFA turut menyenaraikan Arif Aiman sebagai salah satu ‘Key match-up’ dengan bintang Indonesia, Ole Romeny, yang turut menjadi penjaring ketika membantu skuad Garuda menewaskan Singapura 2-0 dalam aksi pembukaan.

Menurut FIFA, kedua-dua pemain dijangka menjadi watak penting buat Harimau Malaya dan Garuda apabila Malaysia dan Indonesia berentap dalam aksi yang turut dikenali sebagai Derbi Nusantara.

Bagi Arif Aiman, persembahan cemerlang ketika menentang Bangladesh pastinya memberikan suntikan keyakinan menjelang cabaran lebih sukar menentang Indonesia di hadapan ribuan penyokong tuan rumah.

Dengan kreativiti dan kepantasan yang menjadi antara kekuatan utamanya, Arif Aiman sekali lagi bakal menjadi antara pemain yang diperhatikan ketika Harimau Malaya memburu tiga mata di Jakarta.