Kevin Diks Kecewa Dengan Penyokong Indonesia
MakanBola
Timnas Indonesia

Kevin Diks meluahkan kekecewaan terhadap segelintir penyokong Indonesia yang melaungkan nama Shin Tae-yong ketika aksi menentang Malaysia berkesudahan 0-0 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Isnin malam.

“Saya rasa ini tidak betul. Saya rasa perkara ini tidak baik untuk para pemain dan juga tidak baik untuk jurulatih.

“Cuba untuk terus berjuang dengan 10 pemain. la sangat sukar dan saya kecewa dengan perkara ini. Saya rasa ini tidak sepatutnya berlaku.

“Tetapi itulah bola sepak apabila bermain dengan 10 pemain. Saya tidak tahu berapa lama kami bermain dengan 10 pemain, mungkin 60 minit, tetapi untuk terus berjuang dengan 10 pemain memang sangat sukar.” menurut Diks.

Sebelum itu, Diks mengulas mengenai aksi pasukan selepas terpaksa berjuang dengan 10 pemain selepas insiden kad merah Tom Haye atas kekasaran terhadap Arif Aiman selepas dibantu teknologi VAR.

“Sudah tentu, kami mempunyai objektif yang berbeza untuk hari ini, tetapi saya perlu katakan kepada semua orang, ini adalah sebahagian daripada bola sepak. Apabila anda bermain dengan 10 pemain, perkara seperti ini boleh berlaku.

“Tom tidak melakukannya dengan sengaja, jadi sebelum semua orang menyalahkan Tom, perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia boleh berlaku kepada saya juga. Kaki anda boleh patah dan dengan VAR, semuanya berlaku dengan begitu pantas.

“Jadi, saya berbangga dengan para pemain kerana terus berjuang dengan 10 pemain.” katanya.

Diks turut bercakap mengenai aksi seterusnya menentang Bangladesh.

“Jaringkan sebanyak mungkin gol. Itu sahaja,” katanya.

Indonesia selepas ini bakal berdepan Bangladesh pada 1 Oktober di Stadium Gelora Bung Karno dalam aksi terakhir Kumpulan A dengan misi utama untuk menjaringkan sebanyak mungkin gol dalam usaha memburu kedudukan selaku juara kumpulan.