Denmark Open: Aaron Chia-Wooi Yik Ke Final, Benam Jaguh Korea
UltraSukan
MSN Malaysia

Beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke final Denmark Open selepas garang menyingkirkan jaguh daripada Korea Selatan.

Saingan separuh akhir Denmark Open menyaksikan Aaron Chia-Wooi Yik mencatat kemenangan 21-14, 21-18 ke atas Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea dalam masa 38 minit untuk melayakkan diri ke final pada Ahad.

Set pertama berlangsung menarik apabila beregu negara terus mempamer dominasi dengan permainan pantas yang berjaya memerangkap Won Ho-Seung Jae untuk memperoleh mata demi mata menuju ke pertengahan aksi.

Saingan sengit cuba diberikan lawan selepas itu, namun Aaron-Wooi Yik kekal fokus menjarakkan mata dengan gaya permainan yang amat kemas hingga mampu menutup pertarungan di set pertama hasil kemenangan 21-14.

Aksi di set kedua pula tampak berbeza apabila beregu lawan dari Korea tersebut cuba meningkatkan intensiti permainan, dengan corak serangan pantas bagi menyaingi Aaron-Wooi Yik sejak permulaan mata pertama.

Tekanan serta serangan di penghujung aksi membuatkan mata kedua-dua beregu ini tidak jauh berbeza sebelum akhirnya Aaron-Wooi Yik berjaya menutup permainan dengan memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh lawan.

Pertarungan separuh akhir Denmark Open ini tamat dengan kemenangan straight set 21-14, 21-18 buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam masa 38 minit untuk beregu lelaki negara ini menjadi wakil pertama Malaysia ke final.