Media Jepun Nafi Hajime Moriyasu Ke Malaysia
MakanBola
Japan FA

Sebuah portal Jepun menafikan spekulasi yang mengaitkan jurulatih skuad kebangsaan negara itu, Hajime Moriyasu dengan Malaysia.

Portal Nikkan Gendai melaporkan destinasi sebenar Moriyasu selepas meninggalkan Samurai Biru bukan Malaysia seperti dilaporkan portal-portal di Asia tetapi benua Eropah.

Ini kerana jurulatih berusia 58 tahun itu dilaporkan mahu merealisasikan impian melatih sebuah kelab Eropah selepas meninggalkan skuad kebangsaan Jepun.

Antara kelab yang dicanang sebagai destinasi pilihan Moriyasu ialah kelab Belgium, Sint-Truidense. Kelab itu dimiliki oleh syarikat elektronik dan internet Jepun, DMM.com.

Selepas memuktamadkan pengambilalihan pada November 2017, kelab Belgian Pro League itu bertanggungjawab menggilap ramai pemain Jepun sebagai bintang di peringkat antarabangsa. Antaranya Wataru Endo, Takahiro Tomiyasu dan Zion Suzuki.

Malah, kelab itu kini memiliki lima pemain Jepun sebagai pilihan buat jurulatih, Frederic De Meyer. Lima pemain tersebut ialah Taiga Hata, Kota Takai, Leo Kokubo, Nelson Ishiwatari dan kapten, Shogo Taniguchi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sint-Truidense, Takayuki Tateishi sudah lama menyatakan minat untuk membawa Moriyasu ke Belgium. Malah, beliau pernah ditawarkan peluang membimbing kelab itu selepas tamat kempen Piala Dunia 2022.

Meskipun usaha tersebut tidak berjaya, Tateishi memiliki hubungan baik dengan Moriyasu. Beliau melihat peluang menjadi jurulatih di Belgium mampu menjadi batu loncatan buat rakan senegaranya itu untuk melatih kelab di liga-liga utama Eropah.

Sekiranya usaha ini direalisasikan, Moriyasu dijangka disertai oleh Hiroshi Nanami. Nanami dilihat menjadi orang kepercayaan beliau bukan saja pada hari perlawanan tetapi juga dalam sesi latihan.

Meskipun begitu, sebarang usaha untuk mendapatkan Moriyasu dijangka sukar. Meskipun masih memiliki kontrak sehingga kempen Piala Asia 2027, situasi ini boleh berubah seandainya kejohanan itu ditangguhkan sehingga Januari 2028.

Hal ini berpotensi berlaku kerana konflik yang timbul antara tuan rumah, Arab Saudi dan kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman. Justeru, hal ini berpotensi mempengaruhi situasi kontrak Moriyasu bersama Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA).