Pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi sekali lagi mencuri tumpuan apabila nilai pasarannya mengatasi angka tiga pemain bintang Liga Malaysia.
Liga Super Malaysia musim 2026-27 dibanjiri pemain import berkualiti yang membawa reputasi besar dari luar negara.
Namun begitu, data nilai pasaran terkini Transfermarkt menunjukkan bahawa bakat tempatan juga mampu bersaing, malah mendahului sebahagian bintang asing yang menjadi tulang belakang pasukan masing-masing.
Kapten JDT, Arif Aiman kini memiliki nilai pasaran €700,000 (RM3.17 juta) dan menjadi antara pemain termahal di Liga Super. Pemain bernombor 10 itu muncul antara aset paling bernilai dalam liga, sekali gus mengesahkan statusnya sebagai salah seorang pemain terbaik negara ketika ini.
Tonggak lincah berusia 24 tahun itu turut mempamerkan kehebatannya pada pentas antarabangsa. Beliau menjaringkan dua gol ketika Malaysia membuka kempen Divisyen 1 Kumpulan A FIFA ASEAN Cup 2026 dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno.
Harimau Malaya kemudian seri 0-0 dengan Indonesia, menang 6-0 ke atas Singapura sebelum menewaskan Vietnam 1-0 untuk merangkul tempat ketiga, dengan Arif dan Bergson da Silva menjadi duo penjaring utama negara di kejohanan itu.
Kedudukan ini menyaksikan beliau berjaya mengatasi saham pemain import Selangor FC, Hugo Boumous bernilai €650,000 atau kira-kira RM2.94 juta. Pemain tengah menyerang berusia 31 tahun itu bukan nama asing kerana sudah membina reputasi besar sebelum mendarat di Liga Malaysia, termasuk pernah mewakili skuad bawah 23 tahun Morocco.
Bintang Guatemala, Óscar Santis pula mencatatkan nilai €600,000 atau sekitar RM2.72 juta. Sama seperti Boumous, sayap kanan berusia 27 tahun yang kini beraksi secara pinjaman bersama DPMM FC itu turut datang dengan nama besar, malah masih aktif menyarung jersi kebangsaan negaranya.
Sementara itu, bek kanan Sabah, Dane Ingham bernilai €375,000 atau kira-kira RM1.70 juta. Walaupun berstatus pemain kebangsaan New Zealand dan memiliki ketinggian 1.86 meter, nilai pasarannya masih jauh di bawah Arif di Liga Malaysia.
Perbandingan ini jelas menunjukkan bahawa Arif Aiman bukan sekadar bintang tempatan, tetapi aset yang dihargai setanding malah lebih tinggi daripada import berpengalaman. Jika konsisten, tidak mustahil Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia tiga kali berturut-turut itu akan terus melonjak dalam tempoh terdekat.


