Tonton aksi Malaysia vs India dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 secara langsung dari Stadium Selayang.
Skuad Malayan Tigress B-17 bakal mengharungi aksi paling penting dalam kempen Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2027 apabila turun menentang India di Stadium MP Selayang pada Ahad, 11 Oktober.
Perlawanan yang dijadualkan bermula pada jam 9 malam itu bakal menentukan nasib Malaysia untuk merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia Wanita B-17 2027 di China.
Malaysia hadir dengan momentum positif selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut, bermula dengan kejayaan tipis 1-0 ke atas Syria sebelum membelasah Iraq 4-0 pada aksi kedua Kumpulan E.
Kemenangan tersebut menyaksikan pasukan kendalian Takayoshi Ishihara mengumpul enam mata, sekali gus meletakkan mereka di landasan terbaik untuk mencabar kedudukan pendahulu kumpulan.
Bagaimanapun, cabaran sebenar menanti apabila India turut mengutip enam mata hasil kemenangan besar 14-0 ke atas Iraq sebelum menewaskan Syria 2-0 dalam perlawanan kedua.
Lebih menarik, kedua-dua pasukan masih belum dibolosi sepanjang kempen kelayakan ini, dengan Malaysia meledak lima gol manakala India sudah menjaringkan 16 gol dalam dua perlawanan.
Situasi itu menjadikan pertembungan terakhir ini sebagai penentuan sebenar buat kedua-dua pasukan, dengan Malaysia perlu memburu kemenangan untuk muncul juara Kumpulan E dan mengesahkan tempat ke pusingan akhir.
Berdasarkan peraturan pertandingan, hanya juara setiap kumpulan layak ke Piala Asia Wanita B-17 2027, sekali gus menjadikan keputusan seri tidak memadai buat Malaysia untuk memintas India yang memiliki kelebihan perbezaan jaringan.
Antara pemain yang boleh menjadi tumpuan Malaysia ialah You Lim, yang pernah mencuri perhatian menerusi persembahan cemerlang bersama skuad negara dalam kejohanan Srikandi Merdeka Cup, selain Keisha Adeliena, Dishanna Pillay, Putri Mia Alysa dan kapten pasukan, Qistina Fais.
Namun, benteng pertahanan Malaysia perlu berwaspada terhadap ancaman penyerang India, Anushka Kumari, yang sudah meledak tujuh gol dalam dua perlawanan selepas menjaringkan lima gol ketika membelasah Iraq sebelum menambah dua lagi gol ketika menentang Syria.
Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri, mengekalkan disiplin pertahanan dan lebih berkesan di hadapan gawang sekiranya mahu menamatkan kempen kelayakan dengan kejayaan besar.
Kini, hanya 90 minit memisahkan Malayan Tigress B-17 daripada peluang melakar sejarah dengan melayakkan diri ke pentas Piala Asia Wanita B-17 2027, namun mereka perlu mengatasi cabaran India dalam aksi penentuan yang dijangka sengit.