Pelumba MotoGP, Alex Rins menjadi tumpuan warga maya selepas dikesan bertelagah dengan beberapa orang marsyal ketika sesi latihan di Grand Prix (GP) Mandalika, Indonesia.
Insiden itu berlaku dengan sesi latihan berbaki dua minit. Rins terjatuh pada selekoh terakhir litar sekali gus menyebabkan enjin motosikalnya terhenti.
Jaguh Sepanyol itu tidak dapat meneruskan sesi latihan. Ini disebabkan peraturan MotoGP 2026 yang tidak membenarkan motosikal dihidupkan semula dengan kaedah tolak mula di tepi trek selepas kemalangan berlaku.
Justeru, motosikal Rins perlu dibawa ke laluan servis sebelum pasukannya, Monster Energy Yamaha MotoGP mengambil tindakan selanjutnya.
Rins dilihat membonceng seorang marsyal untuk kembali ke kawasan paddock. Meskipun begitu, pergerakan mereka dihalang oleh beberapa orang maryal lain.
Marsyal yang hendak membawa Rins berusaha mempertahankan beliau daripada marsyal-marsyal lain. Hal ini menyebabkan perang mulut tercetus antara jaguh Sepanyol itu dengan beberapa marsyal berkenaan.
Pada akhirnya, Rins memilih turun daripada motorsikal sebelum menunjukkan jari tengah kepada marsyal-marsyal tersebut. Beliau kemudiannya menumpang kenderaan milik seorang jurugambar untuk kembali ke paddock.
Video insiden membabitkan Rins di Mandalika tular di media sosial dan menjadi bualan peminat sukan permotoran.