Selangor Ke Final MPFL, Bertemu Pahang Rangers
UltraSukan
MPFLMy

Selangor FC mengesahkan tiket final Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dengan menewaskan Terengganu dalam aksi separuh akhir kedua yang berlangsung pada Sabtu.

Selepas meraih tiga mata hasil kemenangan besar 6-2 dalam aksi separuh akhir pertama, Selangor hanya memerlukan kemenangan atau seri untuk mengesahkan kemaraan ke final. Terengganu pula perlu menang jika ingin mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Sebaik perlawanan bermula, Terengganu mengambil langkah menyekat pergerakan tonggak import The Red Giants, Marlon Oliveira. Pasukan Pantai Timur itu berharap dapat menyekat jentera serangan pasukan Lembah Klang itu.

Sangkaan Terengganu meleset apabila Selangor meledakkan dua gol pada minit keenam dan ketujuh. Kapten,Khairul Effendy Mohd Bahrin dan Syahir Iqbal Khan Akbar Khan masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Terengganu makin derita apabila Faris Mohd Johan meledakkan gol ketiga. Seorang lagi tonggak import Selangor, Evandro Borges mencetak nama sebagai penjaring menerusi tolakan mudah melepasi penjaga gol lawan, Adib Adam Mohd Zulkifli.

Ketajaman serangan Selangor memastikan pasukan itu memiliki kelebihan empat gol sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Selangor terus meningkatkan tekanan ke arah gawang Terengganu untuk memburu jaringan tambahan.

Selangor terpaksa menunggu sehingga minit ke-27 untuk menyumbat gol kelima menerusi Farhan Khairul Anuar. Dua minit selepas itu, Muhammad Alif Mat Amin mengurangkan defisit buat Terengganu.

Aidil Afiqzam Mohd Nasir memulihkan kembali kelebihan lima gol Selangor dengan gol beberapa minit sebelum babak kedua berakhir.

Terengganu terus berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 6-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Dua kemenangan di peringkat separuh akhir sudah cukup untuk membawa Selangor ke final MPFL 2026.

Kini, anak buah Edgar Baldasso akan berentap dengan Pahang Rangers di peringkat akhir bagi menentukan juara MPFL musim ini.