Youtuber Eropah Hilang Kata-Kata Lihat Stadium Sultan Ibrahim
MakanBola
Johor Southern Tigers

Seorang pempengaruh terkenal dari England mengakui kagum melihat stadium keramat Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Hal ini diluahkan pempengaruh, pemain, pencipta kandungan bola sepak dan pengacara audio siar terkenal, Emmanuel John “Manny” Brown apabila berpeluang melawat SSI.

Apabila diberi peluang melawat SSI sambil ditemani Ketua Pegawai Operasi (COO) dan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, beliau yang mesra disapa Manny merasa kagum dengan apa yang dilihat.

“Wow, ini sesuatu yang menakjubkan. Ini (satu tempat) yang hebat. Saya hilang kata-kata,” kata Manny dalam satu video yang disiarkan akaun YouTube miliknya baru-baru ini.

Malah, Edwards secara berseloroh menyatakan beliau ingin kembali beraksi setiap kali melihat SSI. “Ini membuatkan saya teringin untuk beraksi. Sudah tentu saya tua sekarang,” katanya.

Manny kemudiannya menyatakan mahu kembali semula ke SSI selepas aksi persahabatan antara Harimau Selatan dan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea pada 9 Ogos lalu.

“Saya kena datang semula (ke SSI). Selepas (perlawanan JDT menentang Chelsea) pada Ahad, saya akan datang semula untuk satu lagi perlawanan,” ujarnya.

Manny turut diberi peluang meninjau semua kemudahan yang ada di SSI termasuk ruang pemulihan dan bilik persalinan.