Shin Tae-yong Pening Dengan Pengurusan Liga 1 Indonesia
MakanBola
Persija

Jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong mengakui pening dengan pengurusan liga Indonesia selepas kelabnya, Persija Jakarta berpotensi dikenakan hukuman pemotongan mata.

Prospek hukuman itu timbul susulan tindakan penyokong kelab yang diberi jolokan Macan Kemayoran itu menyerang bas yang membawa skuad Persib Bandung Bawah 18 Tahun (B-18) baru-baru ini.

Insiden tersebut terjadi di kawasan rehat Tol Batang-Semarang KM 360, Kabupaten Batang, Jawa Tengah. Pada ketika itu, penyokong Persija dalam perjalanan balik selepas menyokong pasukan itu di Yogjakarta.

Skuad muda Persib pula berada di Solo, Jawa Tengah setelah mengharungi perlawanan Kumpulan B Elite Pro Academy (EPA) One B-18 melawan Garuda United.

Insiden tersebut menyebabkan ramai pihak mahu Persija dihukum termasuk hukuman pemotongan mata. Meskipun begitu, Tae-yong merasakan pihak berkuasa patut memburu penyokong yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Sejujurnya, menurut saya hal-hal seperti itu 100% tidak boleh terjadi sama sekali. Jika ada kejadian seperti itu, pihak kelab tentu harus bersikap tegas kepada para penyokong.

“Namun di luar itu, pihak polis dan badan kehakiman harus bertindak dan memberikan hukuman yang sangat keras kepada para pelaku agar peristiwa serupa tidak berulang kembali,” katanya seperti dilaporkan CNN Indonesia.

Tae-yong turut merasakan prospek hukuman pemotongan mata terhadap Persija sebagai tidak adil. Ini kerana pada hematnya, kelab hanya bertanggungjawab ketika mereka berada di stadium.

Justeru, jika ada sebarang tindakan yang dilakukan penyokong Persija di luar sana, Tae-yong melihat perkara itu bukan berada di bawah skop tanggungjawab pasukan itu.

“Berhubung soal pengurangan mata, hal-hal yang memang menjadi tanggungjawab kelab tentu harus dipikul oleh kelab. Namun, kelab tidak mungkin bisa mengawal seluruh hal hingga ke luar lingkup pertandingan.

“Bagaimana mungkin pihak pengurusan kelab bisa memantau insiden yang terjadi di tempat seperti kawasan? Apakah staf kelab harus mengikuti penyokong ke mana-mana untuk mencegah hal itu? Itu tidak masuk akal,” tambah bekas jurulatih Indonesia itu.

Atas sebab itu, Tae-yong menyeru penyokong Persija menjaga diri dan tidak melibatkan diri dalam perkara sebegini. Ini kerana insiden sebegini yang pada akhirnya bukan saja merugikan Persija tetapi juga bola sepak Indonesia.

Meskipun begitu, seruan Tae-yong ibarat mencurah air ke daun keladi. Penyokong Persija sekali lagi terpalit dalam insiden pergaduhan penyokong dengan penyokong Persita Tangerang baru-baru ini.