Beregu wanita nombor satu Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah muncul juara Denmark Open 2026 dengan menewaskan wakil Jepun, Hinata Suzuki dan Nao Yamakita.
Pearly-Thinaah beraksi di final dengan peluang menambah gelaran juara Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) yang kedua untuk tahun 2026.
Meskipun begitu, Suzuki-Yamakita bukan lawan mudah. Walaupun berstatus beregu bukan pilihan, mereka menyingkirkan rakan senegara yang juga pilihan ketujuh kejohanan, Sumire Nakade-Miyu Takahashi di peringkat separuh akhir.
Set pertama menyaksikan pada awalnya, Suzuki-Yamakita mendahului pada kedudukan 8-3. Pearly-Thinaah berjaya mengejar dan menyamakan kedudukan 8-8 sebelum mendahului pada kedudukan 11-9.
Meskipun cuba dikejar beregu ke-21 dunia itu, Pearly-Thinaah tetap unggul di hadapan sebelum menang dengan keputusan 21-18.
Set kedua menyaksikan beregu wanita negara terus melebarkan kelebihan pada kedudukan 7-2. Kelebihan itu terus dipertahankan sebelum Pearly-Thinaah menang dengan keputusan 21-11.
Keputusan ini menyaksikan Pearly-Thinaah meraih gelaran juara kedua untuk tahun 2026 selepas Indonesia Masters. Pearly-Thinaah meraih hadiah kemenangan berjumlah AS$70,300 (RM287,075) selaku juara.
Keputusan ini turut menyaksikan Pearly-Thinaah mengikut jejak Chin Ee Hui-Wong Pei Tty. Kali terakhir Malaysia bergelar juara dalam acara beregu wanita ialah 2008 menerusi gandingan Ee Hui-Pei Tty.
Malaysia berpeluang menambah satu lagi wakil bergelar juara dalam Denmark Open menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Bekas juara dunia 2022 itu akan menentang pilihan ketiga dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri di peringkat akhir.