Jaguh Amerika Selatan, Paraguay merakamkan kemenangan ke atas Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, malam Jumaat.
Beraksi di laman sendiri, Singapura kendalian Gavin Lee turun dengan barisan terkuat diketuai oleh Hariss Harun, sambil posisi serangan dikemudi oleh Ilhan Fandi Ahmad.
Paraguay terlebih dahulu di hadapan apabila menjaringkan gol pembukaan menerusi tandukan pemain tengah, Gustavo Caballero pada minit kelapan, hasil hantaran pertahanan kanan, Alexandro Maidana.
Beraksi di laman sendiri, Singapura bangkit menyamakan kedudukan selepas tandukan Song Ui-young menerjah gawang pada minit ke-30 hasil hantaran lintang Kyoga Nakamura.
Menuju tamat babak pertama, Paraguay kembali mendahului di hadapan selepas penyerang berbisa, Mauricio menyudahkan hantaran Eduardo Delmas menewaskan Izwan Mahbud pada babak kecederaan.
Pertembungan 45 minit pertama tamat dengan Paraguay mendahului Singapura dengan keputusan 2-1.
Bersambung babak kedua, Singapura cuba menekan dan hampir memperoleh jaringan kedua menerusi percubaan Ilhan Fandi namun percubaannya hanya singgah sisi kiri gawang.
Skuad bimbingan Gustavo Alvaro mendapatkan sentuhan jaringan ketiga pasukan, sekali lagi menerusi Caballero selepas perancang tengah itu menyudahkan hantaran Maidana pada minit ke-52.
Singapura melakukan beberapa pertukaran penting terutamanya pada posisi serangan, namun masih buntu untuk menambah jaringan buat pasukan.
Paraguay terus menghukum The Lions menerusi ledakan jaringan keempat selepas pemain gantian, Julio Enciso meledak gol keempat pada minit ke-81.
Tambahan masa lima minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal memihak pasukan pelawat hingga wisel penamat dibunyikan.
Singapura seterusnya bakal menentang pasukan keenam dunia, Brazil pada 17 November jam 6.00 petang (waktu Malaysia) sementara Paraguay bakal bertemu Jepun pada hari sama.


