Asia Tenggara

Harimau Malaya Masih ‘Hantui’ Jurulatih Singapura

Bergson Nur Adam Singapura Malaysia Malaysia NT Harimau Malaya Masih ‘Hantui’ Jurulatih Singapura
Malaysia National Team
Advertisements

Jurulatih Singapura, Gavin Lee mengakui kekalahan besar 0-6 kepada Harimau Malaya dalam aksi FIFA ASEAN Cup bulan lalu masih meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya dan para pemain meskipun sudah agak lama berlalu.

Kekalahan tersebut menyaksikan Singapura dibelasah Harimau Malaya dalam aksi terakhir Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober lalu.

Malaysia membuka jaringan menerusi sepakan penalti Bergson da Silva pada minit kelapan sebelum Stuart Wilkin menggandakan kelebihan pada minit ke-26 hasil hantaran Manuel Hidalgo.

Bergson kemudian melengkapkan hatrik menerusi dua lagi jaringan pada minit ke-62 dan minit akhir perlawanan, manakala Paulo Josue serta Syahir Bashah turut mencatatkan nama selaku penjaring untuk melengkapkan kemenangan 6-0 buat skuad negara.

Menurut Gavin, keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah dilupakan kerana seluruh pasukan berasa terluka selepas gagal memberikan persembahan terbaik ketika berdepan Harimau Malaya.

Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab terhadap keputusan dan prestasi tersebut terletak sepenuhnya di bahu mereka.

“Sudah agak lama sejak perlawanan menentang Malaysia, tetapi itu tidak bermakna kami sudah melupakannya.

“Saya fikir kekalahan itu masih meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri kami kerana kami benar-benar terluka dan akhirnya, kami bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan serta prestasi tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Gavin menjelaskan bahawa pasukannya perlu melakukan penilaian secara menyeluruh bagi mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi cabaran seterusnya.

Beliau juga mahu memastikan Singapura mampu mempamerkan prestasi lebih baik menerusi persiapan yang sedang dilakukan bersama para pemain.

“Ini bermakna kami perlu menilai dengan jelas apa yang telah berlaku dan memastikan kami dapat melakukan jauh lebih baik pada perlawanan seterusnya.

“Itulah yang saya dan para pemain sedang berusaha untuk capai menjelang aksi antarabangsa pada musim sejuk ini,” jelasnya.

Untuk rekod, Singapura kini sedang membuat persiapan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Paraguay pada 13 November sebelum bertemu Brazil pada 17 November ini.