Xisco Munoz Dedah Taktikal Tewaskan Pohang Steelers
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, meluahkan rasa puas hati selepas anak buahnya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Pohang Steelers di gelanggang lawan dalam aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Dua gol yang dijaringkan Marcos Guilherme, masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua, sudah cukup untuk memastikan JDT membawa pulang tiga mata berharga dari bumi Korea Selatan.

Bagi jurulatih kelahiran Sepanyol itu, anak buahnya jelas menerapkan corak permainan berintensiti tinggi menerusi tekanan agresif serta reaksi pantas sebaik sahaja kehilangan bola, selaras dengan apa yang diterapkan dalam sesi latihan.

“Kami tahu bukan mudah untuk beraksi di Korea menentang pasukan yang kuat, tetapi hari ini kami melaksanakan tugas dengan baik dan berjaya menang. Saya sangat gembira.

“Gaya permainan kami jelas. Kami cuba bermain dengan tekanan tinggi dan perkara paling penting ialah memberikan reaksi segera apabila kehilangan bola. Kami banyak berlatih untuk memperbaiki aspek tersebut. Dalam situasi tertentu, kami juga perlu mengambil inisiatif dalam permainan. Ada kalanya pasukan perlu menguasai bola dan ada kalanya kami perlu melakukan larian ke ruang kosong,” jelas Xisco dalam satu sidang media selepas perlawanan menentang Pohang.

Dominasi JDT jelas terpancar menerusi statistik perlawanan apabila Harimau Selatan menguasai hampir keseluruhan permainan, lebih-lebih lagi Pohang terpaksa meneruskan aksi separuh masa kedua dengan 10 pemain selepas kehilangan seorang pemain akibat kad merah.

Kemenangan yang diraih itu menyaksikan JDT kini menduduki tangga keempat Kumpulan A dengan mengumpul empat mata selepas mengharungi dua perlawanan. Sebelum ini, Harimau Selatan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 ketika menentang Buriram United dalam aksi pembukaan ACLE.

Bagi aksi seterusnya, JDT bakal menerima kunjungan kelab Thailand, Port FC pada 27 Oktober ini. Sementara itu, Pohang Steelers dijadualkan berdepan wakil Jepun, Kashima Antlers, sehari kemudian iaitu pada 28 Oktober.