Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat memonopoli statistik dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) menentang Pohang Steelers di Pohang Steelyard.
Statistik rasmi perlawanan menunjukkan JDT kerap menguji gawang tuan rumah yang dikawal Hong Sung-min. Harimau Selatan melancarkan 20 percubaan dengan lapan daripadanya cubaan tepat.
Dua daripadanya membuahkan hasil menerusi Marcos Guilherme pada separuh masa kedua perlawanan. Selain itu, JDT juga hanya mengutip dua kad kuning sepanjang perlawanan.
Hal ini berbeza dengan Pohang yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain. Pasukan yang dibimbing Park Tae-ha itu kehilangan kapten, Jeon Min-kwang yang dilayangkan kad merah kerana menjadi pemain terakhir menjatuhkan Shahab Zahedi.
Statistik ini turut memperlihatkan kemerosotan prestasi Pohang pada musim ini. Selepas menamatkan musim di tangga keempat pada tahun lalu, Pohang kini merudum di tangga kesembilan K-League 1 setakat ini.
Anak buah Tae-ha kini hanya meraih satu kemenangan dalam lapan aksi terakhir mereka. Ini termasuk dua kekalahan di pentas ACLE di tangan Beijing Guoan dan JDT.
Seandainya prestasi buruk Pohang berterusan, pasukan itu berpotensi diheret ke pertarungan mengelak penyingkiran K-League 1 meskipun masih memiliki kelebihan mata yang selesa.
Pohang berharap dapat bangkit semula apabila bertemu FC Anyang pada 18 Oktober ini.