Jurang Ranking Kuching City & Kitchee Di Asia
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC dilihat memiliki kelebihan dari segi ranking mengikut data Opta Analyst berbanding lawan mereka dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Kitchee.

Kedudukan semasa menyaksikan Kuching City menduduki tangga ke-178 di peringkat Asia dan 1869 di peringkat dunia. Kitchee pula berada di tangga ke-229 (Asia) dan 2286 (dunia).

Meskipun begitu, kedudukan ranking bukan petanda sesebuah pasukan itu kuat atau lemah. Hal ini terbukti apabila Phnom Penh Crown meraih kemenangan ke atas anak buah Aidil Sharin Sahak dalam aksi pertama ACL2.

Walaupun berstatus pasukan ke-516 di Asia, itu bukan penghalang buat kelab Kemboja itu menewaskan The Cats 2-1.

Justeru, Kuching City perlu mempamerkan prestasi cemerlang di Stadium Taha Ariffin jika ingin meraih kemenangan pertama di pentas ACL2.

Kemenangan di peringkat Asia bukan saja mampu memberi suntikan semangat kepada The Cats. Malah, ini secara tidak langsung membantu memperbaiki ranking Malaysia dalam kedudukan ranking pertandingan kelab negara ahli AFC.

Sekiranya Kuching City dan Johor Darul Ta’zim (JDT) masing-masing konsisten meraih keputusan positif dalam ACL2 dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), ini akan membuka ruang buat Malaysia memintas Australia di tangga keempat.

Posisi tersebut cukup penting kerana ia menawarkan dua slot kelayakan ke ACLE untuk musim 2028/29. Kuching City dan Kitchee akan berentap di Stadium Taha Ariffin pada Khamis.