Peluang 2 Wakil Malaysia Di ACLE Semakin Cerah
MakanBola
Johor Southern Tigers

Peluang Malaysia untuk memiliki dua wakil dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) semakin cerah.

Kemas kini terbaru Ranking Negara Ahli (MA) Pertandingan Kelab Lelaki AFC yang dibuat Footy Rankings menyaksikan Malaysia kini mengumpul 42.809 mata.

Footy Rankings Peluang 2 Wakil Malaysia Di ACLE Semakin Cerah

Ini susulan kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalahkan kelab Korea Selatan, Pohang Steelers 2-0 dalam aksi terbaru ACLE di Pohang Steel Yard.

Selain memastikan JDT menamatkan kemarau kemenangan di bumi Korea, Harimau Selatan turut mengecapi kemenangan pertama mereka dalam ACLE musim ini.

Kutipan mata terbaru ini menyaksikan Malaysia semakin kukuh di tangga kelima untuk MA Zon Timur. Selain itu, jurang Malaysia dengan Australia di tangga keempat juga semakin hampir.

Australia ketika ini mengutip 44.744 mata. Sekiranya JDT dan Kuching City FC terus konsisten meraih keputusan positif dalam ACLE dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Malaysia berpeluang memintas Australia di tangga keempat.

Posisi itu cukup berharga kerana ini menawarkan dua slot kelayakan ke ACLE musim 2028/29. Jika perkara itu berjaya dicapai, ia dilihat satu lagi pencapaian bermakna buat bola sepak Malaysia.

Kini, giliran The Cats pula meneruskan usaha mengumpul mata buat negara dalam saingan ACL2. Anak buah Aidil Sharin Sahak akan berdepan Kitchee FC di Stadium Taha Ariffin pada 15 Oktober ini.