UltraSukan

French Open: Jaguh Jepun Padam Impian Juara Pearly Tan-M. Thinaah

Pearly Thinaah Singapore BA French Open: Jaguh Jepun Padam Impian Juara Pearly Tan-M. Thinaah
Singapore BA
Advertisements

Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah terlepas peluang menggondol trofi French Open 2026.

Pearly-Thinaah yang berstatus pilihan kedua kejohanan terpaksa akur dengan kehebatan jaguh Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto di peringkat akhir.

Selepas mengungguli kejuaraan Denmark Open, beregu wanita negara berpeluang menambah trofi ketiga Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) pada tahun ini.

Meskipun begitu, Fukushima-Matsumoto turut mengintai peluang meraih trofi kedua Jelajah Dunia BWF untuk tahun 2026. Kali terakhir mereka bergelar juara ialah juara Indonesia Open pada Jun lalu.

Set pertama menyaksikan Pearly-Thinaah tampil dengan prestasi mantap di atas gelanggang. Ini membolehkan mereka mengungguli set pertama dengan keputusan 21-10.

Fukushima-Matsumoto yang juga pilihan utama kejohanan bangkit pada set kedua. Mereka jauh meninggalkan Pearly-Thinaah pada kedudukan 16-9 sebelum menang dengan keputusan 21-17.

Hal ini menyaksikan perlawanan diheret ke set penentuan. Fukushima-Matsumoto terus unggul di hadapan sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 21-16.

Keputusan ini menyaksikan Pearly-Thinaah terlepas peluang mengulangi pencapaian bergelar juara kejohanan sama yang dilakar pada edisi 2022.

Fukushima-Matsumoto yang juga juara bertahan membawa pulang hadiah kemenangan AS$70,300 (RM287,000). Pearly-Thinaah pula terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara dan membawa pulang hadiah AS$33,250 (RM136,000).

Malaysia masih berpeluang meraih satu kejuaraan dalam acara beregu lelaki. Final acara ini menyaksikan bekas beregu nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menentang rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.