Thailand terpaksa melakukan perubahan saat akhir pada jersi mereka menjelang kempen Kumpulan B FIFA ASEAN Cup.
All Things Thai Football melaporkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan Thailand mengubah jersi biru mereka.
Badan induk bola sepak antarabangsa itu membuat arahan tersebut kerana mendapati jersi yang dihasilkan Warrix itu mengandungi lirik lagu kebangsaan Thailand.
Mengikut peraturan FIFA, pasukan dilarang menggunakan rekaan yang mengandungi unsur politik, keagamaan atau slogan tertentu pada jersi mereka.
Susulan itu, Warrix kemudiannya mengubahsuai jersi berkenaan bagi memenuhi peraturan FIFA. Thailand boleh menarik nafas lega kerana jersi original masih boleh digunakan untuk mana-mana pertandingan yang tidak dianjurkan oleh badan induk itu.
Jersi tersebut boleh digunakan untuk aksi-aksi seperti perlawanan persahabatan antarabangsa, King’s Cup dan ASEAN Hyundai Cup.
Thailand akan membuka kempen Kumpulan B dengan menentang pasukan Asia Selatan, Pakistan pada Sabtu.