Manchester City berpotensi dikenakan hukuman berat oleh Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas didapati bersalah atas 114 dakwaan salah laku kewangan.
BBC Sport melaporkan antara potensi hukuman yang menanti The Citizens ialah potongan mata, denda, kehilangan trofi yang dimenangi pada musim-musim terdahulu dan disingkirkan dari EPL.
City boleh saja tersingkir ke Liga Kejohanan sekiranya disingkirkan pihak liga pada akhir musim atau dikenakan potongan mata yang cukup signifikan.
Kelab gergasi EPL itu juga berpotensi kehilangan trofi yang dimenangi di bawah tiga pengurus iaitu Roberto Mancini, Manuel Pellegrini dan Pep Guardiola.
Manchester United dan Liverpool masing-masing berpeluang diberi gelaran juara liga untuk musim 2011/12, 2013/14 dan 2017/18. Stoke City pula berpeluang mendapat trofi The Emirates FA Cup untuk musim 2010/11.
Saingan Carabao Cup pula menyaksikan Sunderland, Liverpool dan Arsenal masing-masing berpeluang diberikan trofi untuk musim 2013/14, 2015/16 dan 2017/18.
Setiap hukuman ini berpotensi dijatuhkan terus oleh suruhanjaya bebas liga. City juga berpotensi diberi tempoh penangguhan hukuman sekiranya mereka tidak melakukan kesalahan sama dalam tempoh yang dinyatakan.
City dijangka mengemukakan rayuan berhubung keputusan yang dibuat suruhanjaya bebas EPL itu. Hal ini ditambah dengan kelab-kelab EPL kini mendapatkan nasihat perundangan tentang sama ada memburu pampasan kewangan atau tidak.
Seandainya City disingkirkan ke Liga Kejohanan, mereka bakal berdepan kos kewangan yang besar. Ini kerana tonggak-tonggak seperti penyerang Norway, Erling Haaland tidak memiliki klausa penyingkiran dalam kontraknya.
Memandangkan keputusan penghakiman mengambil masa beberapa tahun untuk dikeluarkan, keputusan rayuan City juga dijangka mengambil masa lama.