FIFA ASEAN Cup: Malaysia & Indonesia Kongsi Mata
MakanBola
Malaysia National Team

Malaysia meneruskan kempen Kumpulan A FIFA ASEAN Cup dengan rekod tanpa kalah apabila diikat tanpa jaringan dengan Indonesia di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK).

Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan mengutip tiga mata penuh. Malah, ini juga peluang anak buah Tan Cheng Hoe membalas dendam selepas tewas 4-1 dalam aksi ASEAN Championship 2020.

Gandingan Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim terus mendapat kepercayaan Cheng Hoe di bahagian serangan. Ole Romeny menjadi sandaran gol jurulatih Indonesia, John Herdman.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal. Indonesia cukup bersemangat dibantu dengan kehadiran ribuan penyokong di GBK.

Indonesia menyangka telah mendahului seawal minit keempat menerusi Justin Hubner. Meskipun begitu, gol itu dibatalkan selepas kekasaran dikesan ke atas pemain Malaysia ketika gol itu terhasil.

Arif Aiman menguji ketangkasan penjaga gol Ajax Amsterdam, Maarten Paes dengan rembatan pada minit ke-12. Walau bagaimanapun, rembatan beliau dinafikan penjaga gol berusia 28 tahun itu.

Empat minit kemudian, giliran Faisal pula menguji kecekapan Paes. Bekas penjaga gol FC Dallas itu bertindak cemerlang bagi memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Indonesia kemudiannya beraksi dengan 10 pemain apabila pengadil, Ko Hyung-jin melayangkan kad merah kepada Thom Haye. Selepas pada awalnya dilayangkan kad kuning, semakan VAR mendapati Haye melakukan terjahan keras terhadap Arif Aiman.

Hal ini memaksa Herdman memasukkan Ivar Jenner untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Haye di bahagian tengah. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, Indonesia terus memberi saingan kepada Harimau Malaya meskipun beraksi dengan 10 orang pemain.

Cheng Hoe kemudiannya memasukkan penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue untuk bergandingan dengan Bergson di bahagian serangan.

Malaysia hampir memecah kebuntuan menerusi pemain gantian, Fergus Tierney. Malangnya, percubaan penyerang PAC Omonia 29M itu sekadar melepasi palang gol.

Harimau Malaya terus memberi tekanan ke atas benteng Tim Garuda tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Malaysia terus menerajui Kumpulan A dengan empat mata.

Meskipun berkongsi mata sama dengan Indonesia, Malaysia memiliki kelebihan jaringan. Selepas ini, Harimau Malaya akan menentang pasukan seberang Tambak Johor, Singapura pada 1 Oktober ini.