Penyokong Indonesia mula melepaskan geram di Instagram Thom Haye selepas pemain tengah itu dilayangkan kad merah ketika aksi Kumpulan A FIFA ASEAN Cup menentang Malaysia.
Haye menerima kad merah pada minit ke-36 selepas pengadil membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) berhubung terjahan keras yang dilakukannya terhadap Arif Aiman Hanapi.
Pemain kelahiran Belanda itu pada awalnya hanya dilayangkan kad kuning sebelum keputusan tersebut diubah selepas VAR mendapati terjahannya agak keras dan mengenai bahagian bawah kaki Arif Aiman.
“Pemain seperti ini sepatutnya disenarai hitam. Mewakili pasukan kebangsaan Indonesia merupakan satu penghormatan tertinggi, tetapi tindakan kamu malam ini langsung tidak menghargai jersi yang kamu sarungkan. Kad merah itu memusnahkan harapan jutaan rakyat Indonesia. Kalau selepas ini kamu mahu bersara daripada skuad kebangsaan, baguslah! Kami perlukan pemain yang mempunyai mentaliti juara, bukannya pemain yang mudah dipengaruhi emos,” komen Zhakiahan di Instagram Thom Haye.
“Kenapa pula bermain secara terburu-buru macam tu, Prof? Dulu tak macam ni, sekarang asyik bermain ikut emosi,” luah seorang lagi penyokong Indonesia.
Selepas Thom Haye diperintah keluar padang, Indonesia terpaksa bertahan dengan 10 pemain dan lebih banyak mengharapkan kekuatan benteng pertahanan bagi menyekat asakan Malaysia.
Selepas ini, Indonesia dan Malaysia perlu menang besar dalam aksi terakhir masing-masing untuk menghidupkan peluang mara ke pentas final FIFA ASEAN Cup.