Ketua jurulatih Port FC, Bozidar Randovic mengakui Johor Darul Ta’zim (JDT) memiliki sedikit kelebihan menjelang aksi kedua-dua pasukan dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa, 27 Oktober.
Menurut Randovic, kelebihan itu hadir apabila JDT mempunyai tempoh rehat sehari lebih lama berbanding pasukannya selepas mengharungi perlawanan liga masing-masing.
“JDT mempunyai satu hari lagi untuk berehat. Ini satu perkara yang memberikan sedikit kelebihan,” katanya dalam sidang media praperlawanan pada Isnin.
Bagaimanapun, jurulatih Port itu menegaskan pasukannya tetap bersedia menghadapi cabaran menentang skuad Harimau Selatan meskipun berdepan beberapa kekangan menjelang aksi tersebut.
Randovic memaklumkan Port FC mempunyai dua pemain yang mengalami kecederaan, selain jadual perlawanan padat dan perjalanan jauh sepanjang bulan lalu yang turut menjadi cabaran buat pasukannya.
Beliau turut mengakui JDT merupakan pasukan yang berkualiti serta mempunyai organisasi permainan yang baik ketika menyerang mahupun bertahan.
“Ini perlawanan yang sukar buat kami. Kami akan menentang sebuah pasukan yang sangat bagus dan tersusun, baik ketika menyerang mahupun bertahan,” katanya.
Randovic turut memberikan perhatian terhadap kemampuan JDT mengubah arah serangan, mewujudkan kelebihan jumlah pemain di kawasan pertahanan lawan serta kualiti individu yang dimiliki barisan pemain import mereka.
“Menukar arah permainan, mewujudkan kelebihan jumlah pemain ketika menyerang pertahanan, pemain yang sangat bagus secara individu dengan lebih ramai pemain import, serta organisasi pasukan yang sangat baik,” jelasnya.
Dalam masa sama, Randovic berharap tempoh persiapan yang ada dapat membantu Port FC menghadapi cabaran JDT dalam perlawanan penting tersebut.
Port FC kini kembali memberikan tumpuan kepada saingan ACLE selepas mengharungi aksi terakhir mereka dalam Liga Thailand, dengan Randovic menyifatkan pertemuan menentang JDT sebagai ujian sukar buat pasukannya.
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa itu bakal menyaksikan kedua-dua pasukan berentap dalam usaha memburu keputusan positif di pentas tertinggi kelab Asia.


