Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan tentangan sengit Port FC menjelang aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Ini kerana Port bukan saja memiliki prestasi semasa yang baik di bawah bimbingan jurulatih, Bozidar Bandovic.
Malah, Port juga kini menerajui saingan Thai League 1 dengan 15 mata. Ini ditambah dengan juara liga musim lalu, Buriram United tewas mengejut 3-2 di tangan Sisaket United.
Selepas Bandovic masuk menggantikan jurulatih sebelumnya, Sarawut Treephan pada September lalu, Port mula menunjukkan peningkatan.
Lima aksi terakhir menyaksikan pasukan itu merekodkan empat kemenangan dan satu kekalahan. Meskipun begitu, kekalahan itu ialah kekalahan di ACLE apabila Port menjadi mangsa belasahan Kashiwa Reysol.
Selain Kashiwa, Port juga tewas 2-1 kepada Vissel Kobe dalam aksi pertama Liga Timur ACLE. Justeru, pasukan itu masih mencari kemenangan di pentas Asia.
JDT pula dilihat terus konsisten dalam semua kejohanan yang disertai mereka. Lima aksi terakhir menyaksikan lima kemenangan termasuk kemenangan besar 6-0 ke atas Svay Rieng dalam Shopee Cup.
Selain itu, Harimau Selatan juga masih belum tewas dalam ACLE. JDT diikat 1-1 dengan Buriram sebelum menewaskan Pohang Steelers 2-0.
Pertembungan Harimau Selatan dan Port bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 27 Oktober ini.


