Malaysia Menang Tapi Bintang Bangladesh Jadi Pilihan Peminat
MakanBola
Malaysia NT

Kemenangan Malaysia dalam perlawanan FIFA ASEAN Cup bagaimanapun disertai satu kejutan apabila pemain Bangladesh menjadi pilihan peminat.

Langkah kanan buat skuad Harimau Malaya apabila berjaya memperoleh 3 mata pertama dalam kejohanan FIFA ASEAN Cup 2026 selepas mengatasi tentangan Bangladesh dengan keputusan 3-0 semasa aksi pembukaan pada Jumaat.

Arif Aiman mencipta dua jaringan buat Malaysia pada separuh masa yang pertama sebelum gol debut Bergson Da Silva menutup hari gemilang buat kem negara dengan kemenangan selesa untuk memimpin carta Kumpulan A.

Di sebalik kemenangan dan persembahan memukau skuad negara, bintang Bangladesh, Hamza Choudhury pula yang menjadi pilihan peminat selaku pemain terbaik pada perlawanan terbabit menerusi undian peminat di laman Sofascore.

Seramai 62% peminat memilih Hamza Choudhury sebagai pemain terbaik perlawanan semalam, sementara Arif Aiman hanya mendapat 31% undian sedangkan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) tersebut berjaya menyumbat dua gol.

Dianggarkan hampir seribu undian diperoleh bekas tonggak Leicester City itu di laman tersebut, tatkala aksi beliau pada perlawanan itu dilihat sedikit terbatas apabila setiap gerakan yang cuba direncana berjaya dipatahkan oleh pemain negara.

Hanya dua peluang terbaik berjaya didapatkan Hamza Choudhury pada aksi semalam, namun rembatan pemain tengah Sheffield United itu diselamatkan oleh penjaga gawang negara, Haziq Nadzli sebelum percubaan susulan yang dinafikan bek negara.

Kemenangan 3-0 ini meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan A dengan 3 mata, selain turut mengutip tambahan +3.30 mata ranking FIFA menjelang pertemuan hangat Derbi ASEAN berdepan Indonesia pada 28 September ini.