Ranking Masa-Nyata: Atasi Bangladesh, Malaysia Raih Mata Maksimum
MakanBola
Malaysia National Team

Malaysia berjaya mengutip mata tambahan ranking yang maksimum hasil kemenangan selesa ke atas Bangladesh dalam aksi pertama FIFA ASEAN Cup.

Skuad Harimau Malaya membuka kempen FIFA ASEAN Cup 2026 dengan langkah kanan apabila tampil cukup garang bagi menumpaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pertama Kumpulan A di Stadium Utama Gelora Bung Karno pada Jumaat.

Dua jaringan daripada Arif Aiman di separuh masa pertama dan gol debut Bergson bersama Harimau Malaya sudah memadai bagi menghadiahkan 3 mata berharga buat pasukan kebangsaan dalam kejohanan edisi sulung ini.

Kemenangan besar itu membantu Malaysia memperoleh tambahan ranking sebanyak +3.30 mata untuk membawa kepada jumlah keseluruhan 1090.35, namun tetap kekal di kedudukan ke-136 dunia secara kiraan masa-nyata ini.

Kedudukan ranking masa-nyata ketika ini menyaksikan jurang Malaysia di tangga ke-136 dunia dan negara di tangga ke-135 dunia, Congo kini makin hampir dengan perbezaan hanya 4.14 mata selepas wakil Afrika itu tumpas semalam.

Peluang terbaik buat pasukan kebangsaan untuk terus mendaki ranking yang tinggi kali ini dengan syarat keputusan positif harus dicapai dalam baki aksi yang akan ditempuh supaya kutipan mata secara konsisten mampu melonjak kedudukan Malaysia.

Ujian getir menanti skuad negara di pentas FIFA ASEAN Cup ini apabila bakal turun menentang tuan rumah, Indonesia yang juga musuh tradisi di rantau Asia Tenggara dalam aksi kedua Kumpulan A pada 28 September hadapan.