FIFA ASEAN Cup: Malaysia ‘Baham’ Bangladesh
MakanBola
Malaysia National Team

Malaysia membuka kempen Kumpulan A FIFA ASEAN Cup dengan langkah kanan apabila menewaskan Bangladesh di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK).

Skuad negara bukan saja mahu meneruskan rentak baik selepas berjaya mara ke peringkat separuh akhir ASEAN Hyundai Cup 2026. Malah, aksi ini juga peluang Harimau Malaya melebarkan rekod baik ke atas negara Asia Selatan itu.

Tiga pemain baharu Harimau Malaya, Bergson da Silva, Brad Tapp dan Manuel Hidalgo diberi peluang membuat penampilan pertama. Jurulatih Bangladesh, Thomas Dooley pula memberi peluang kepada beberapa pemain baharu termasuk pemain Boreham Wood, Farhaan Ali Wahid.

Sebaik perlawanan bermula, Malaysia tampil garang menerusi gandingan Bergson, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim untuk mendapatkan gol pendahuluan.

Gol yang dicari hadir pada minit ke-18. Selepas menerima hantaran Nooa Laine, Arif Aiman tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol lawan, Mehedi Hasan Srabon.

Ini gol pertama Arif Aiman sejak melakukannya dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Vientiane pada 9 Oktober 2025.

Bangladesh makin derita apabila pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu merobek gawang Srabon buat kali kedua pada minit ke-38. Kali ini, giliran Stuart Wilkin mencipta nama sebagai pencipta bantuan gol.

Faisal hampir merobek gawang Bangladesh pada minit akhir babak pertama tetapi dinafikan Srabon. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Bangladesh memasukkan Shahriar Emon dan pemain berdarah Jepun-Bangladesh, Shuki Itofusa bagi memperkemaskan rentak pasukan itu.

Malangnya, gawang Bangladesh bocor lagi pada minit ke-53. Bergson memastikan penampilan pertamanya bersama Malaysia cukup bermakna dengan rembatan deras yang menewaskan Srabon.

Bangladesh kemudiannya ditimpa malang apabila Tariq Kazi tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan. Dooley kemudiannya memasukkan Zidane Yousuf sebagai pengganti.

Kelebihan selesa memberi ruang kepada jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe merehatkan Arif Aiman dan memasukkan pemain yang berpangkalan di Cyprus, Fergus Tierney. Beliau turut memasukkan penyerang Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue sebagai pengganti Bergson.

Pemain tengah Sheffield United, Hamza Choudhury hampir merobek gawang Malaysia pada minit ke-77. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Haziq Nadzli sekali gus memastikan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas ini, Malaysia akan menentang tuan rumah, Indonesia pada 28 September. Bangladesh pula akan menentang Singapura pada hari sama.