Prestasi cemerlang Marcos Guilherme bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) mendapat perhatian Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pemain sayap berusia 31 tahun itu bukan saja dipilih menjadi sebahagian daripada Kesebelasan Terbaik Hari Perlawanan Kedua ACLE oleh AFC.
Malah, Guilherme juga merekodkan markah tertinggi dari segi penilaian oleh platform Sofascore. Meskipun berkongsi 8.8 mata dan dua gol bersama bintang Iran, Sardar Azmoun, bekas pemain FC Tokyo itu mendahului dari segi jumlah hantaran.
Penyerang Al-Ain, Houssine Rahimi mendapat markah 8.7. Bintang Gamba Osaka, Eli Adams dan arkitek Al-Nassr, Angelo pula masing-masing berkongsi 8.3 mata.
Guilherme, Rahimi, Adams, Angelo dan Azmoun masing-masing berada dalam kesebelasan terbaik ACLE. Mereka disertai Tenma Matsuda, Ryoya Ogawa, Naomichi Ueda, Yusuf Akcicek, Mohammed Mahzari dan Habib Far Abbasi.
Guilherme menjadi arkitek kemenangan pertama JDT dalam ACLE dengan menewaskan Pohang Steelers 2-0. Bekas tonggak Athletico Paranaense itu meledakkan kedua-dua gol buat Harimau Selatan.
Musim 2026/27 menyaksikan Guilherme telah meledakkan tujuh gol dan mencipta dua bantuan gol buat JDT dalam semua kejohanan setakat ini.