Ini Sebab Peluang 3 Wakil Malaysia Ke Asia Bakal Jadi Kenyataan
MakanBola
Johor Southern Tigers
Advertisements AnS

Peluang untuk menyaksikan tiga wakil Malaysia ke pentas bola sepak Asia bakal menjadi kenyataan.

Semuanya bermula dengan aksi cemerlang oleh dua wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada pentas Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan juga Kuching City FC pada pentas Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) musim ini.

Skuad Harimau Selatan cemerlang merekodkan dua aksi tanpa tewas, termasuklah mengejutkan kelab gergasi Korea Selatan, Pohang Steelers dengan keputusan 2-0.

Sementara itu, Kuching City bimbingqn Aidil Sharin Sahak mencuri satu mata menentang Kitchee pada aksi kedua Kumpulan H, sekali gus membuka peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Kecemerlangan JDT dan Kuching City itu menyaksikan Malaysia kini melonjak ke tangga kelima di Asia Timur bagi kedudukan Ranking MA AFC Footy Rankings dengan 4.833 purata mata bagi tahun 2027 yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 43.142 mata.

Malaysia kini berjaya memintas kedudukan China untuk berada pada kedudukan kelima, dan hanya dipisahkan kurang tiga mata dengan Australia di tangga keempat.

Sekiranya kedudukan ini kekal, Malaysia bakal memperoleh dua slot ke pentas ACLE, satu secara automatik manakala satu lagi melalui pusingan play-off sementara satu slot di ACL2 kekal.

Peminat berpeluang untuk melihat dua pasukan Malaysia beraksi secara terus di ACLE musim 2028/29 sekiranya ranking negara melonjak ke tangga keempat Asia Timur, yang memberi dua slot automatik ke ACLE.

Thailand kekal selaku wakil nombor satu dari Asia Tenggara pada kedudukan ketiga di Asia Timur, yang membawa kepada tiga wakil negaranya ke pentas ACLE dan satu di ACL2.