MPFL: Pahang Rangers Selangkah Ke Final, Tewaskan JDT
UltraSukan
JDT Futsal

Pahang Rangers FC selangkah ke pentas final Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) apabila menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan.

Kedua-dua pasukan melihat aksi ini bukan saja peluang meraih bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Pasir Gudang pada 10 Oktober ini.

Malah, ini juga peluang buat tuan rumah membalas dendam terhadap JDT. Sebelum ini, Pahang Rangers tewas tipis 5-4 dalam aksi yang berlangsung di Kuantan pada Ogos lalu.

Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal. Tuan rumah kemudiannya memecah kebuntuan menerusi penjaring terbanyak liga, Felipe de Souza.

JDT berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat. Bersambung pada babak kedua, permainan antara kedua-dua pasukan semakin rancak.

Andres Prieto menceriakan pelawat dengan gol penyamaan pada minit ke-26. Keceriaan kem JDT tidak bertahan lama apabila de Souza meletakkan Pahang Rangers kembali di hadapan.

Tuah Eizlan Aminuddin menambah derita pelawat dengan gol ketiga. Strategi power play JDT menyaksikan Awalluddin Mat Nawi mengurangkan defisit 3-2.

Gawang kosong JDT pantas dimanfaatkan Rodrigo Galvao de Silva untuk memulihkan kembali kelebihan dua gol tuan rumah. Keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi di Pasir Gudang pada 10 Oktober ini untuk merebut tiket final. JDT berharap kelebihan di gelanggang sendiri dapat dimanfaatkan untuk mengatasi kelebihan agregat Pahang Rangers.