Insiden melibatkan penyokong Pahang Rangers FC dan JDT ketika aksi MPFL pada Sabtu menjadi perhatian selepas beberapa laporan mengenai kejadian tersebut tersebar di media sosial.
Bagaimanapun, laporan rasmi Match Commissioner FAM memberikan gambaran lebih terperinci mengenai situasi yang berlaku ketika perlawanan tumpuan antara Pahang Rangers vs JDT di Sukpa, Kuantan.
Menurut laporan tersebut, perlawanan pada minit ke-11:07 terpaksa dihentikan sementara selepas berlaku insiden melibatkan penyokong kedua-dua pasukan.
Berdasarkan pemerhatian di lokasi, insiden dipercayai bermula susulan tindakan saling memprovokasi sebelum beberapa penyokong Pahang Rangers FC yang dikenal pasti bukan daripada kumpulan Ultras Pahang menghampiri kawasan penyokong Boys of Straits (JDT).
Situasi kemudian menjadi tegang selepas berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak selain insiden balingan air, namun anggota RELA yang bertugas berjaya mengawal keadaan dan menghalang penyokong kedua-dua pasukan daripada bertembung secara fizikal.
Pemain daripada kedua-dua pasukan turut membantu menenangkan penyokong masing-masing bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang sebelum perlawanan disambung semula selepas tahap keselamatan dinilai sesuai.
Pihak LOC Pahang Rangers FC kemudiannya memohon kehadiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan di stadium dengan anggota polis ditempatkan di kawasan pemisah antara penyokong kedua-dua pasukan.
Selepas tamat perlawanan, sekumpulan penyokong Pahang Rangers FC dilaporkan berkumpul di luar kawasan stadium menyebabkan penyokong JDT diarahkan untuk kekal berada di dalam stadium sementara menunggu arahan pihak polis.
Penyokong JDT kemudiannya dibenarkan keluar secara terkawal dengan dua buah kenderaan polis melakukan kawalan dan iringan terhadap tiga buah bas yang membawa mereka sehingga ke laluan menuju lebuh raya.
Laporan susulan pihak polis turut menjelaskan bahawa kekecohan tersebut tidak melibatkan pergaduhan fizikal seperti yang mungkin difahami berdasarkan gambaran awal kejadian.
Dalam masa sama, Boys of Straits (BOS) turut menafikan dakwaan bahawa kumpulan penyokong JDT itu menjadi pencetus kepada insiden berkenaan, selain menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dari sudut mereka.
Secara keseluruhannya, laporan rasmi Match Commissioner merekodkan insiden tersebut sebagai situasi melibatkan provokasi antara penyokong yang berjaya dikawal anggota RELA dan PDRM tanpa berlaku pertembungan fizikal.
Tindakan pantas pihak keselamatan serta kerjasama pemain, pegawai dan penganjur juga memastikan perlawanan dapat diteruskan sebelum penyokong JDT dibawa keluar dari stadium dengan selamat.