Malaysia berpeluang besar menambah lebih 5 mata dalam kiraan carta kedudukan Ranking FIFA sekiranya berjaya menumbangkan Indonesia dalam aksi FIFA ASEAN Cup pada Isnin.
Skuad Harimau Malaya akan meneruskan perjuangan di FIFA ASEAN Cup 2026 dengan turun berdepan tuan rumah, Indonesia pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan A dengan misi untuk melakar satu lagi keputusan yang positif.
Kejayaan menewaskan Bangladesh 3-0 dalam aksi pembukaan pada Jumaat lalu nyata memberikan suntikan semangat terbaik buat pasukan negara bagi menghadapi Indonesia yang dibarisi pemain-pemain warisan berkualiti dari Eropah.
Habuan besar menanti skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe jika berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Indonesia, dengan tambahan +5.67 mata ranking bakal menjadi milik Malaysia untuk terus memperbaiki kedudukan dalam carta ranking FIFA.
Dengan penambahan +5.67 mata itu, Malaysia bakal mengumpul sebanyak 1096.02 mata dalam carta ranking masa-nyata FIFA, sekali gus berpotensi melonjak ke tempat ke-134 dunia, naik dua anak tangga berbanding posisi semasa.
Manakala, andainya aksi Malaysia vs Indonesia berakhir dengan keputusan seri, skuad negara masih memiliki peluang untuk mengutip tambahan mata ranking +0.68, namun tidak memberikan kesan kepada kedudukan ranking negara.
Walau bagaimanapun, Malaysia diancam penolakan mata -4.32 sekiranya mencatatkan kekalahan di tangan Indonesia dan jatuh satu anak tangga ke kedudukan ke-137 dunia, yang menyaksikan India akan naik secara kiraan kasar.
Aksi Malaysia vs Indonesia bakal berlangsung pada Isnin, 28 September dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8.30 malam di Stadium Gelora Bung Karno secara langsung disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).